Kasih ibu, Nor Azizah tabah jaga anak OKU

Kasih ibu, Nor Azizah tabah jaga anak OKU

NOR AZIZAH Mohamad memberikan Mohd. Azizul Ismail minum susu di rumahnya di Kampung Parit Terus, Sanglang, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Perumpamaan itu sesuai menggambarkan ketabahan seorang ibu menjaga anak sulungnya yang lumpuh sejak 10 tahun lalu akibat terbabit dalam kemalangan jalan raya.

Nor Azizah Mohamad, 53, reda dengan nasib yang menimpa anaknya, Mohd. Azizul Ismail Sairul, 30, yang kini terlantar ibarat seorang bayi yang memerlukan penjagaan setiap masa kerana terlibat dalam kemalangan motosikal pada pukul 5 pagi ketika hendak membantu ayahnya memungut kerang di Ayer Baloi.

Akibat mengalami kecederaan parah, kaki kanannya terpaksa dipotong dari paras lutut apabila luka yang dialami tidak sembuh dan dibimbangi memberi kesan sampingan lain.

“Mohd. Azizul kini tidak mampu lagi bergerak, leher juga dipasang besi sebagai alat sokongan, namun Allah masih memberikannya peluang untuk bercakap bagi memudahkan kami sekeluarga berinteraksi. Boleh makan tetapi bersuap, selain minum susu khas, memakai lampin pakai buang bagi memudahkannya membuang air kecil dan air besar,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Parit Terus, Sanglang, dekat sini.

Akibat kemalangan tersebut, anaknya juga menerima rawatan selama sebulan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan dua minggu di Hospital Pontian.

Anak sulung daripada lima beradik itu tidak boleh berada dalam keadaan ‘panas’ dan sepanjang masa memerlukan bantuan kipas angin selain menggunakan ketulan ais bagi menyejukkan badannya.

“Jika panas, boleh menyebabkan sesak nafas dan pernah berlaku kejadian tersebut, namun Allah masih panjangkan umurnya sehingga sekarang,” jelasnya.

Nor Azizah juga terpaksa meminjam kereta orang kampung jika hendak menghantar anaknya ke HSA dan ada masanya perlu dibawa segera ke hospital jika menghadapi masalah kesihatan serius.

Memandangkan anaknya dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU), dia menerima bantuan sebanyak RM500 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan RM500 daripada Baitulmal Daerah Pontian.

Mereka yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) bernombor 0112211000085448 atau menghubungi Mohd. Azizul menerusi talian 019-7966864.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×