Kadi Jerantut imamkan solat istisqa minta hujan di Ulu Tembeling - Utusan Malaysia

Kadi Jerantut imamkan solat istisqa minta hujan di Ulu Tembeling

SEBAHAGIAN penduduk mendengar khutbah disampaikan Izzuddin Abd. Mutalib (berdiri) selepas solat sunat istisqa di lapangan pinggir Sungai Tembeling, Ulu Tembeling di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Penduduk mukim Ulu Tembeling di sini mengadakan solat istisqa meminta hujan di kawasan lapang berdekatan dataran berpasir Sungai Tembeling di Kampung Bantal di sini setelah tiga bulan kemarau.

Solat sunat itu diimamkan Kadi Jerantut, Izzuddin Abd. Mutalib yang turut disertai kira-kira 50 orang ahli jemaah terdiri daripada penduduk Kampung Bantal, Kampung Seberang Bantal dan berdekatan.

Menurut Izzuddin, sebahagian ahli kariah di situ beramai-ramai melaksanakan solat sunat istisqa memohon diturunkan hujan serta mendoakan kesejahteraan bersama setelah berdepan dengan fenomena El Nino sejak beberapa bulan lalu.

“Kita memilih kawasan lapang berdekatan dataran berpasir Sungai Tembeling untuk memohon Allah SWT supaya menurunkan hujan di kawasan ini, daerah ini dan negeri ini amnya memandangkan fenomena El-Nino dan cuaca sangat panas berlanjutan hampir tiga bulan di kawasan ini.

“Harapan kita semoga Allah SWT ampunkan segala dosa dan diturunkan hujan beserta rahmat daripada-Nya juga menghindarkan daripada bencana lain,” katanya semasa menyampaikan khutbah selepas menunaikan solat sunat tersebut di Kampung Bantal, Ulu Tembeling di sini hari ini.

Sementara itu, penduduk Seberang Kampung Bantal, Jamizan Rashid, 42, berkata, penduduk di situ bersyukur dengan inisiatif Pejabat Agama Islam Jerantut yang diketuai Izzuddin menyempurnakan solat sunat istisqa supaya Allah SWT segera memberikan rahmat menurunkan hujan.

“Kesan musim kemarau dan cuaca panas amat ketara menyebabkan kira-kira 100 meter Sungai Tembeling berubah muncul dataran berpasir lebih daripada saiz padang bola cuma sedikit alur (aliran) air di tempat tertentu.

“Keadaan ini juga menyebabkan aktiviti penduduk terbantut seperti nelayan sungai serta pengangkutan bot penambang terganggu kerana ssetengah laluan sungai ini cetek,” katanya.

Sementara itu, Japrun Ali, 65, berharap semoga dengan ibadat itu, , penduduk akan menerima rahmat Allah SWT khususnya kemarau akan berakhir dalam masa terdekat.

“Inilah pertama kali solat sunat istisqa dilakukan di lapangan terbuka berdekatan dataran berpasir Sungai Tembeling berbanding pernah beberapa tahun lalu dilakukan di masjid mahupun secara perseorangan,” katanya.

Ujarnya, penduduk di situ berdepan fenomena kemarau yang lebih teruk sehingga membataskan aktiviti harian bagaimanapun reda dengan ujian Allah yang mempunyai hikmah di sebaliknya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN