JBPM isi hampir 1,500 jawatan, negeri rekod kes tinggi diberi keutamaan - Utusan Malaysia

JBPM isi hampir 1,500 jawatan, negeri rekod kes tinggi diberi keutamaan

NOR HISHAM Mohammad (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada Muhammad Tarmizi Md. Jaafar dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan' Terpuji Pegawai Bomba Bantuan 2023 JBPM Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bercadang mengisi sebanyak 1,483 jawatan kosong membabitkan pegawai sepenuh masa (PSM) pelbagai gred secara berperingkat-peringkat.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, pengambilan pertama melibatkan sebanyak 276 jawatan diikuti 233 lagi bagi fasa kedua pada tahun ini dan keutamaan diberikan kepada negeri-negeri yang merekodkan jumlah kes signifikan seperti di Kuala Lumpur, Selangor dan Johor.

“Secara hakikinya, jumlah perjawatan PSM pelbagai gred dalam JBPM adalah sebanyak 14,750. Ketika ini, perjawatan adalah seramai 13,265 dan jumlah kekosongan yang perlu diisi sebanyak 1,483 atau 10.05 peratus.

“Bagi tahun ini, JBPM telah membuat perancangan dan dalam proses pengambilan pelatih seramai 276 bagi pengambilan fasa pertama, diikuti seramai 233 pelatih bagi fasa dua,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2023 JBPM Negeri Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Siti Rohani Nadir.

Seramai 109 orang menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC),  47 penerima Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan 19 lagi menerima Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan (PBB) 2023.

Nor Hisham memberitahu, Johor merekodkan 130 kekosongan perjawatan yang akan diberikan tumpuan untuk diisi dengan segera bagi membolehkan operasi di negeri ini secara ideal tanpa menjejaskan kelulusan cuti pekerja.

“Secara idealnya, kekosongan jawatan itu tidak boleh lebih daripada lima peratus, yang mana ketika ini perjawatan lebih 10 peratus. Sebagai alternatif, kita boleh menambah keanggotaan PPB,” katanya sambil memberitahu bahawa JBPM juga akan menerima 150 unit jentera baru ‘Compact Fire Rescue Tender’ (CFRT) secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini hingga 2028.

Katanya, JBPM Johor merupakan salah sebuah negeri yang menjadi keutamaan penerimaan, memandangkan keluaran panggilan kecemasan yang tinggi saban tahun dan keadaan jentera yang perlu diganti segera.

“Bagi jangka panjang, kita salurkan dua unit CFRT kepada Johor bagi meningkatkan keupayaan dan capaian lebih laju dalam kawasan bandar dan kampung melalui jalan sempit. Insya-Allah, daripada 150 CFRT baharu itu, Johor akan dapat 19 unit jentera itu. 

“Kita juga telah luluskan penyelenggaraan 30 jentera dengan kos keseluruhan RM18 juta dengan sebuah jentera antara kos RM600,000. Bagi penyelenggaraan ini, sebanyak tujuh buah jentera FRT dari Johor telah dikenal pasti,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN