Hantar gambar, video pelaku buang sampah merata-rata - Utusan Malaysia

Hantar gambar, video pelaku buang sampah merata-rata

J. ARUL Kumar (dua dari kiri) dan Hazahar (tiga dari kanan) menunjukkan papan tanda amaran zon operasi CCTV di Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendol, Kuala Pilah hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Pengguna jalan raya boleh menyalurkan maklumat termasuk menerusi gambar dan video kepada pihak Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) sekiranya mereka terlihat mana-mana pengguna kenderaan lain yang membuang sampah merata-rata khususnya dari dalam kenderaan.

Pengarah SWCorp Negeri Sembilan, Hazahar Hashim berkata, bantuan daripada orang ramai itu sangat diperlukan bagi membolehkan pihak SWCorp mahupun pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan siasatan seterusnya melakukan pendakwaan terhadap pelaku.

“Mana-mana pengguna jalan raya mahupun golongan masyarakat yang dapat merakamkan gambar pelaku kesalahan membuang sampah merata-rata itu, mereka boleh berikan gambar atau video itu kepada pihak SWCorp mahupun PBT untuk kami membuat siasatan dan membuka kertas siasatan seterusnya membuat pendakwaan di mahkamah.

“Memang kami menggalakkan dan mengalu-alukan bantuan daripada masyarakat, ini tanggungjawab bersama dan masyarakat perlu bekerjasama dengan kami dan PBT dalam hal ini,” katanya kepada pemberita pada pelancaran Operasi Pemantauan Larangan Membuang Sampah Merata-rata di sini hari ini.

Program berkenaan turut dihadiri oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan negeri, J. Arul Kumar.

Sementara itu, Hazahar memberitahu, sebanyak 56 unit kamera litar tertutup akan dipasang pihaknya tahun bagi mengambil tindakan terhadap pelaku yang membuang sampah merata-rata khususnya keluar dari kenderaan mereka.

Katanya, ia termasuk sebanyak lapan unit yang telah dipasang dan boleh beroperasi khususnya ketika berlakunya peningkatan kenderaan di jalan-jalan raya di negeri ini sewaktu musim perayaan Aidilfitri.

“SWCorp akan memasang CCTV dan papan tanda amaran di lokasi-lokasi dan laluan awam yang seringkali menjadi tumpuan dan jalan utama di musim perayaan seperti Jalan Seremban-Kuala Pilah sehingga ke sempadan Pahang. Laluan ini menjelang perayaan memang kan bertambah sibuk dan memang menjadi kawasan kritikal.

“Selain pemasangan CCTV dan penguatkusaan, pihak SWCorp juga akan menggunakan dron bagi pemantauan di lokasi-lokasi tertentu bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap pelaku kesalahan membuang sampah merata-rata serta yang membuang sampah di lokasi pembuangan sampah haram,” ujarnya lagi.

Arul Kumar sementara itu berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama kepada mana-mana agensi untuk melaksanakan peraturan dan penguatkuasaan tegas kepada sesiapa sahaja yang melanggar peraturan.

“Pemasangan CCTV dan papan tanda amaran ini juga akan diperluaskan di semua daerah dalam negeri ini. Ia akan tertumpu juga di beberapa lokasi persimpangan lampu isyarat kerana banyak kita lihat banyak pengguna jalan raya ketika berhenti di kawasan ini mereka akan buang sampah di situ,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN