KOTA BHARU: Suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA 1), Sepang pada 14 April lalu, dijangka berdepan tujuh pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini.
Difahamkan, Hafizul Hawari, 38, berdepan pertuduhan melibatkan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 (Akta 37), Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 (Akta 206) dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Selain itu, suspek dijangka berdepan tiga lagi pertuduhan mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 dan Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu, tiba di pekarangan Mahkamah Kota Bharu pada
pukul 8.31 pagi dengan berpelitup muka dan memakai baju lokap berwarna oren.
Hafizul dikawal ketat oleh anggota polis dari Unit D9 (Bahagian Siasatan Jenayah Berat) lengkap bersenjata.
Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, tempoh tahanan reman terhadap suspek kes tembak di Balai Ketibaan Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang disambung lima hari lagi.
Perintah sambung reman itu dikeluarkan Majistret Ahmad Syafiq Aizat Nazri bermula semalam sehingga Sabtu.
Proses tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.
Sebelum ini melaporkan, Hafizul ditahan polis di hadapan sebuah hospital swasta di sini.
Semasa ditahan, polis menjumpai dan merampas sepucuk pistol yang digunakan suspek semasa melepaskan tembakan di KLIA.-UTUSAN










