GUA MUSANG: Sebanyak 41 kes pembakaran terbuka melibatkan kawasan ladang, kebun dan ladang telah direkodkan di jajahan ini sepanjang musim kemarau bermula dari Februari sehingga 23 April.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Nor Azizi Che Noh berkata, sepanjang Mac lalu lebih 30 panggilan berkait kebakaran terbuka telah diterima oleh pihaknya.
“Cuaca panas menyebabkan kebakaran terbuka yang dilakukan mudah merebak terutamanya di kawasan hutan.
“Kebakaran terbuka boleh menyebabkan bahaya tidak terjangkau sehingga boleh menyebabkan kebakaran rumah. Jadi kita minta pengusaha ladang, kebun supaya tidak membuat pembakaran pada peralihan monsun sekarang ini,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Semalam, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca panas pada tahap satu yang melibatkan beberapa kawasan yang mencatatkan suhu maksimum harian 35-40 darjah Celsius sekurang-kurangnya selama 3 hari berturut-turut.
Terdapat 10 kawasan di Semenanjung berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu (Pendang, Padang Terap, dan Baling) Kedah, (Kuala Kangsar) Perak, (Pasir Mas, Kuala Krai, Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli) Kelantan dan (Raub) Pahang.
Manakala, terdapat tiga kawasan di Sabah berada pada Tahap 1 (Berjaga-Jaga) iaitu Kota Marudu, Kuala Penyu, Beaufort.-UTUSAN










