Gara-gara memandu tanpa lesen, polis jumpa mercun

Gara-gara memandu tanpa lesen, polis jumpa mercun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANAH MERAH: Gara-gara melarikan diri selepas memandu kereta tanpa lesen dan cukai jalan kereta tamat tempoh, seorang lelaki ditahan bersama satu kotak berisi pelbagai jenis mercun di Kampung Kusial Baru, di sini semalam.

Lelaki berusia 30-an, yang memandu kereta jenis BMW 328i(a) itu ditahan semasa cuba melarikan diri sejauh dua kilometer selepas membuat pusingan U di simpang tiga Taman Kota Harmoni, di sini.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Superintendan Mohd. Haki Hasbullah berkata, semasa melakukan Ops Selamat 22 di simpang tiga Taman Kota Harmoni anggoat bertugas telah melihat sebuah kereta jenis BMW membuat pusingan u di tempat yang tidak dibenarkan.

Menurutnya, melihat tindakan itu anggota bertugas telah bertindak untuk menahan kereta tersebut namun pemandunya telah memecut laju sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain.

“Suspek berjaya ditahan selepas dikejar anggota polis sejauh dua kilometer. Pemeriksaan di dalam but kereta itu kemudiannya menjumpai satu kotak yang mengandungi pelbagai jenis mercun.

“Lelaki itu mengaku kesemua mercun itu untuk kegunaannya sendiri. Dia juga bertindak melarikan diri kerana tidak mempunyai lesen memandu dan cukai jalan kereta tersebut tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Haki memberitahu, siasatan lanjut mendapati, cukai jalan kereta tersebut tamat pada 8 Oktober 2021 dan tiada sebarang rekod kenderaan hilang.

Katanya, kemudian suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah di sini untuk siasatan lanjut.

“Kes disisat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN