KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (KPDN WPKL) menahan empat lelaki termasuk seorang warganegara Bangladesh dalam Ops Tiris semalam, kerana terlibat penyelewengan diesel bersubsidi.
Pengarah KPDN WPKL, Ariffin Samsudin berkata, hasil risikan selama dua minggu pihaknya mendapati, tiga lori tangki termasuk sebuah lori yang telah diubah suai, membuat pembelian di sebuah stesen minyak di Lebuhraya Hubungan Timur-Barat, Sungai Besi.
Katanya, semasa serbuan ke atas stesen minyak, terdapat sebuah lori tangki dalam keadaan mencurigakan sedang mengisi minyak diesel menggunakan dua pam.
“Hasil pemeriksaan, didapati lori tangki berkenaan membuat pembelian berulang kali melebihi 20 kali di stesen minyak berkenaan pada hari yang sama,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Tambah beliau, siasatan juga mendapati mereka datang membuat transaksi dalam tempoh dua jam dan setiap transaksi berjumlah RM500.
Katanya, dua lagi lori tangki yang terlibat dalam penyelewangan minyak diesel bersubsidi bagaimanapun tidak dapat dikesan.
“KPDN WPKL bertindak menyita lori tangki berkenaan, minyak diesel berjumlah 7,300 liter, telefon bimbit dan resit-resit pembelian minyak diesel bersubsidi.
“KPDN WPKL turut menyita dokumen, resit jualan, telefon bimbit dan CCTV bagi siasatan lanjut. Pemilik akan disiasat di bawah Peraturan 12A PPKB 1974 kerana gagal mematuhi arahan Pengawal Bekalan iaitu membenarkan sesebuah kenderaan membuat pembelian diesel berulang kali dalam masa yang sama.
“Dua pekerja stesen minyak dan dua pemandu serta kelindan lori ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” jelasnya.
Menurut Ariffin, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM80,000.00.
Dalam pada itu, beliau memberi amaran keras kepada mana-mana pihak supaya tidak melanggar undang-undang sedia ada serta tidak mengambil kesempatan terhadap penjualan minyak diesel bersubsidi yang diberikan oleh kerajaan. – UTUSAN










