PORT DICKSON: Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Telok Kemang, di sini hari ini mengeluarkan hebahan larangan membeli serta memakan kupang dan kerang tempatan buat sementara waktu.
Seorang wakil pihak pengurusan persatuan itu berkata, hebahan tersebut dibuat atas inisiatif persatuan berikutan terdapat beberapa kes keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan kupang dan kerang dari perairan Port Dickson.
Menurut beliau, pada awalnya terdapat lima kes (individu) pada pagi tadi dan sehingga kini kira-kira sembilan individu telah mengalami keracunan dan dimasukkan ke Hospital Port Dickson dengan beberapa mangsa berada dalam keadaan kritikal.
“Pengurusan PNK Telok Kemang menyeru orang ramai agar tidak membeli dan memakan kupang dan kerang tempatan buat sementara waktu.
“PNK Telok Kemang juga menyeru nelayan dan pengusaha agar menghentikan pengeluaran hasil kupang dan kerang manakala para peniaga juga disarankan agar menarik kembali kedua-dua hasil laut ini dari pasaran,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Ujar Mohd. Faudzi lagi, larangan berkenaan adalah bersifat sementara bagi memberi laluan kepada pihak Jabatan Kesihatan untuk mengawal kes ini.
Menurutnya, ia juga bertujuan memberi laluan kepada Jabatan Perikanan bagi memperoleh sampel dan membuat siasatan ke atas punca berlakunya keracunan tersebut.
“Pihak berkenaan telah pun turun ke Kampung Telok dan Sungai Sekawang untuk mengambil sampel kupang dan kerang bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Difahamkan, Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan kini sedang merujuk kes berkenaan kepada pihak Kementerian Kesihatan.-UTUSAN.










