Dividen Tabung Haji 2023 kekal 3.1 peratus

Dividen Tabung Haji 2023 kekal 3.1 peratus

MOHD. NA'IM MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan selepas zakat sebanyak 3.1 peratus bagi tahun kewangan 2023, mengekalkan kadar yang sama untuk tahun keempat berturut-turut.

Agihan keuntungan itu membabitkan jumlah lebih tinggi sebanyak RM2.72 bilion berban­ding RM2.65 bilion pada 2022.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, agihan tersebut akan memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit, selepas mengambil kira bayaran zakat sebanyak 2.57 peratus.

“Prestasi TH pada 2023 didorong oleh pelaburan patuh syariah dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52 peratus daripada jumlah pendapatan keseluruhan, manakala 24 peratus disumbang oleh pelaburan ekuiti.

“Pulangan pelaburan harta­nah dan pasaran wang juga menyumbang 24 peratus kepada jumlah pendapatan,” katanya di Menara TH, Jalan Tun Razak, di sini, semalam.

Mohd Na’im berkata, penyata kewangan TH 2023 selesai diaudit oleh Jabatan Audit Negara dan telah mengambil kira rosot nilai pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi dan di United Kingdom.

Menurutnya, pengiraan agihan keuntungan 2023 adalah berdasarkan purata baki simpanan terendah setiap bulan sepanjang tahun.

“TH juga akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua Majlis Agama Islam negeri-negeri bagi pihak pendeposit pada 2023,” ujarnya.

Tambahnya, TH telah me­nyantuni 560,000 asnaf di seluruh negara pada 2023 melalui Program Zakat Wakalah menjadikan 1.6 juta asnaf telah menerima manfaat daripada program tersebut,” jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, penerbangan pertama jemaah haji Malaysia adalah pada 9 Mei, manakala penerbangan terakhir pula adalah pada 9 Jun.

Katanya, kuota haji bagi jemaah dari Malaysia kekal 31,600 dan pihaknya sedang berusaha mendapatkan kuota tambahan.

“Kesemua bakal jemaah haji telah pun menerima tawaran masing-masing dengan kira-kira enam peratus adalah mereka yang membuat rayuan untuk menunaikan haji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×