PETALING JAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap penstrukturan gaji lebih baik menjadi fokus Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang bakal diumumkan pada 1 Mei ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia,Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd. Nordin berkata, ini kerana hampir 20 tahun struktur gaji penjawat awam tidak disemak serta diselaraskan.
Menurutnya, SSPA merupakan sistem saraan yang baik bagi penjawat awam di semua peringkat.
“Ia merupakan satu sistem baharu yang bagus bagi penjawat awam dengan kadar perubahan corak pentadbiran dari yang lepas dan sekarang searah dengan skim perkhidmatan yang ditambah baik,” katanya ketika dihubungi.
Abdul Rahman berkata, aspek utama yang diharapkan CUEPACS apabila SSPA diumumkan ialah kerajaan merealisasikan empat cadangan penambahbaikan struktur gaji baharu penjawat awam.
“Seperti dimaklumkan Presiden CUEPACS, Datuk Adnan Mat, terdapat empat cadangan penambahbaikan struktur gaji baharu bagi penjawat awam iaitu kenaikan gaji baharu dari RM80 ke RM180 bagi gred paling rendah.
“Seterusnya, kaji semula kenaikan pangkat kumpulan pelaksana berasaskan tempoh perkhidmatan iaitu berharap kerajaan menukar formula daripada 13-13 kepada 10-8-6 bagi membolehkan penjawat awam menikmati kenaikan pangkat dengan lebih cepat.
“Ketiga, meningkatkan gaji minimum penjawat awam daripada RM1,200 kepada RM1,800 dan keempat iaitu gred perkhidmatan bagi semua skim perkhidmatan awam bermula dengan gred 19,” katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perincian awal sistem saraan baharu itu akan diumumkan pada 1 Mei ini sempena sambutan Hari Pekerja.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengesahkan kajian SSPA sudah berada di peringkat akhir bagi meningkatkan kadar upah penjawat awam di negara ini. – UTUSAN










