JOHOR BAHRU: Kementerian Pengangkutan bercadang memperkenalkan perkhidmatan komuter bagi menyokong Projek Rapid Transit System Link (RTS Link) antara bandar raya ini dengan Singapura yang dijadualkan beroperasi pada 1 Januari 2027.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, cadangan tersebut dibuat kerana Stesen RTS Link Bukit Chagar, di sini turut menempatkan stesen Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru (ETS Gemas-JB).
Justeru, beliau mahu mengintegrasikan kedua-dua perkhidmatan tersebut, sekali gus mencadangkan perkhidmatan komuter ke beberapa daerah di luar Johor Bahru.
“Visi kita apabila RTS Link siap kelak, ia akan jadi katalis dan hab kepada pelbagai sistem pengangkutan awam di negeri ini. Memang menjadi dasar dan polisi kita untuk galakkan penggunaan pengangkutan awam pada masa depan.
“Perkhidmatan komuter sudah ada di Kuala Lumpur dan utara, namun di selatan masih belum ada, tetapi kita ada ETS Gemas-JB. Jadi, apabila landasan itu siap sepenuhnya, kita tidak mahu ia hanya digunakan untuk satu perkhidmatan sahaja, alangkah baiknya jika digunakan untuk komuter sekali.
“Perkara ini sedang diteliti, kita akan kaji dengan mendalam untuk perkenalkan perkhidmatan ini di Johor Bahru,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembangunan Jejantas Pejalan Kaki Menghubungkan Coronation Square dan Stesen RTS Link Bukit Chagar di Menara JLand, di sini hari ini.
Menurutnya, antara lokasi yang dicadangkan untuk perkhidmatan komuter itu termasuk melibatkan beberapa daerah luar Johor Bahru seperti Kulai dan Kluang.
“Dengan adanya perkhidmatan ini, mereka yang bekerja di Singapura boleh berbuat demikian tanpa perlu menetap di kawasan bandar raya Johor Bahru, mereka boleh menggunakan perkhidmatan komuter ke Stesen RTS Link Bukit Chagar, sebelum terus ke Singapura.
“Ini secara tidak langsung akan turut mengurangkan beban permintaan terhadap penginapan di sekitar pusat bandar raya ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan pihaknya akan mengkaji cadangan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang mahukan sistem Aliran Transit Automasi (ART) bertingkat diperkenalkan di Johor Bahru bagi mengatasi kesesakan di bandar raya ini.
“Ya, memang perlu disediakan sistem pengangkutan awam bersepadu di bandar raya ini, tetapi cadangan itu masih dalam penelitian,” jelasnya. – UTUSAN










