PRN Negeri Sembilan penentu hala tuju DAP - Utusan Malaysia

PRN Negeri Sembilan penentu hala tuju DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Tidak. Saya tidak berasa keterlaluan jika mengatakan DAP menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan dalam keadaan paling tertekan berbanding beberapa pilihan raya lalu.

Selepas menerima tamparan hebat tewas di semua kerusi ditandingi dalam PRN Sabah penghujung tahun lalu, parti itu masih belum menunjukkan tanda-tanda akan pulih.

Di Johor, Pakatan Harapan (PH) kehilangan empat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan kesemua kerusi tersebut milik DAP. Keputusan ini menjadikan PRN Negeri Sembilan bukan sekadar pilihan raya biasa bagi DAP sebaliknya medan penting untuk menguji sama ada parti itu masih mampu diterima pengundi atau sebaliknya.

Walaupun Negeri Sembilan bukan kubu tradisi DAP seperti Pulau Pinang atau Selangor, negeri ini mempunyai nilai simbolik yang signifikan. Pengaruh Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP bertapak dan berkembang di Negeri Sembilan. Justeru, keputusan PRN ini pasti menjadi ukuran terhadap kekuatan kepemimpinan beliau.

Sejak PH membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14 pada 2018, DAP menjadi tonggak utama gabungan tersebut. Pada PRU-14, DAP memenangi kesemua 11 kerusi yang ditandingi di Negeri Sembilan, iaitu lebih separuh daripada 20 kerusi yang dimenangi PH. Pada PRN 2023 pula, DAP sekali lagi mempertahankan kesemua 11 kerusi tersebut, sekali gus menyumbang kepada majoriti 17 kerusi PH di Negeri Sembilan.

Namun suasana politik hari ini jauh berbeza. Selepas beberapa pilihan raya, timbul persoalan sama ada DAP masih mampu mengekalkan sokongan tradisinya.

Ada pemerhati berpendapat pengaruh DAP dalam kalangan pengundi Cina tidak lagi sekuat ketika dua pilihan raya umum lalu. Kegagalan Kerajaan Madani memenuhi janji manifesto dikatakan menjadi antara faktor yang menjejaskan keyakinan sebahagian pengundi terhadap PH.

Antara isu yang sering dibangkitkan ialah pengiktirafan penuh Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC). Laluan kemasukan terhad ke universiti awam untuk lulusan UEC dengan syarat-syarat tertentu yang diumumkan kerajaan baru-baru ini masih belum memadai bagi sebahagian masyarakat Cina.

Setelah memperjuangkan isu itu sejak sekian lama, ada yang beranggapan DAP sepatutnya mampu memastikan pengiktirafan penuh UEC direalisasikan ketika parti itu kini menjadi komponen utama kerajaan Persekutuan.

Selain UEC, isu-isu khusus masyarakat Cina seperti pembangunan kampung baharu juga dijangka menjadi antara modal utama kempen DAP. Negeri Sembilan mempunyai 41 kampung baru Cina yang kebanyakannya tertumpu di 13 kawasan DUN majoriti bukan Melayu. Dalam usaha mempertahankan kesemua kerusi sedia ada, DAP hampir pasti akan memberi perhatian khusus kepada kawasan-kawasan ini.

Peningkatan kemenangan MCA daripada empat kepada lapan kerusi dalam PRN Johor baru-baru ini mungkin bukan variabel yang sesuai untuk meramalkan pola sokongan pengundi Cina di Negeri Sembilan. Namun perkembangan itu tetap berpotensi menambah tekanan terhadap DAP menghadapi PRN ini.

Jika sokongan pengundi bukan Melayu kini sukar diramal, pola pengundian Melayu pula dijangka dipengaruhi beberapa elemen yang lebih mencabar bagi DAP.

Selain kerjasama yang lebih jelas membabitkan Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) berbanding PRN Johor, kemelut membabitkan institusi adat dan pihak istana di Negeri Sembilan juga dipercayai berpotensi mempengaruhi pengundi.

Institusi adat mempunyai kedudukan yang amat penting dalam struktur sosial dan perlembagaan Negeri Sembilan. Justeru, sebarang polemik yang menyentuh institusi tersebut berpotensi memberi kesan kepada sentimen politik dan perlu ditangani dengan penuh cermat.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, menjadi sasaran kritikan kerana didakwa gagal menangani isu itu dengan berkesan. Malah, ada pihak yang mengaitkan keputusan beliau berpindah kawasan daripada DUN Sikamat ke DUN Linggi dengan kemelut tersebut.

Walaupun tidak terbabit secara langsung dalam pertikaian institusi adat, nama Setiausaha Agung DAP turut dikaitkan susulan dakwaan penyaluran dana oleh pihaknya kepada sebuah entiti yang kemudian dipertikaikan oleh Balai Undang Luak Sungai Ujong.

Loke menafikan dakwaan beliau atau DAP mencampuri urusan adat dan institusi diraja. Namun tindakan beliau bersungguh-sungguh mempertahankan pendirian Aminuddin berhubung isu tersebut telah mengundang kritikan pihak tertentu. Selain itu, perkembangan politik di negeri jiran, Melaka, turut menambah tekanan terhadap parti itu.

Tindakan empat ADUN DAP dan seorang ADUN Amanah menarik sokongan daripada kerajaan negeri pimpinan BN serta membawa kesan besar terhadap kerjasama PH-BN.

Dari sudut politik, kerajaan gabungan BN-PH di Melaka boleh dianggap telah tiada. Walaupun BN masih memiliki majoriti, kerajaan itu kini adalah kerajaan BN sepenuhnya, manakala lima ADUN PH berada di blok pembangkang. Ini memberikan tamparan hebat kepada naratif Kerajaan Perpaduan yang selama ini diketengahkan sebagai model kestabilan politik.

Bagi DAP, situasi tersebut membawa dua naratif yang berbeza. Penyokongnya mungkin melihat tindakan keluar daripada kerajaan sebagai bukti parti itu sanggup mengorbankan kuasa demi mempertahankan prinsip. Sebaliknya, pengkritik pula boleh berhujah bahawa DAP sukar bertolak ansur dalam sebuah kerajaan gabungan. Kedua-dua persepsi ini dijangka menjadi sebahagian daripada wacana politik sepanjang kempen.

Atas sebab itu, PRN Ne­geri Sembilan bukan sekadar pertandingan untuk menentukan siapa membentuk kerajaan negeri.

Bagi DAP, pilihan raya ini merupakan medan menentukan sama ada sokongan rakyat terhadap PH dan parti itu masih utuh selepas beberapa perkembangan politik kebelakangan ini. Bagi Loke, keputusan PRN di negeri kelahirannya akan menjadi ukuran penting terhadap kekuatan kepemimpinan beliau sebagai Setiausaha Agung DAP.

Sekiranya DAP berjaya mempertahankan kesemua 11 kerusi, ia akan menjadi suntikan moral yang besar kepada parti tersebut dan mengukuhkan kedudukan Loke sendiri dalam DAP.  Namun, jika kedudukan sedia ada gagal dipertahankan, kesannya bukan terhadap masa depan politik Loke semata-mata malah boleh menjadi petunjuk bahawa landskap politik yang selama ini menjadi kekuatan DAP sedang mengalami perubahan yang lebih besar.

Penulis seorang bekas wartawan selama 25 tahun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN