Lakonan dipuji di saat jiwa teruji - Utusan Malaysia

Lakonan dipuji di saat jiwa teruji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ada kalanya kejayaan hadir pada saat hati sedang di tahap paling rapuh. Ketika ramai memuji peningkatan mutu lakonannya menerusi drama Ikatan Terlarang, pelakon, Erysha Emyra berjuang menyembunyikan kesedihan yang bersarang di hati selepas bapanya jatuh sakit dan kemudiannya menghembuskan nafas terakhir.

Di sebalik senyuman yang terukir di hadapan kamera, pemilik nama Nur Erysha Emyra Zakaria ini mengakui dirinya sering merasakan lakonannya tidak cukup baik.

Namun, sokongan penonton sedikit demi sedikit mengembalikan keyakinannya untuk terus melangkah dalam dunia seni apatah lagi apabila lakonannya yang dirasakan serba kekurangan itu akhirnya berjaya menyentuh hati ramai.

“Sudah tentu saya sangat bersyukur dan berbesar hati. Sebenarnya ketika penggambaran pun saya selalu beritahu rakan pelakon seperti Hisyam Hamid, pengarah dan kru bahawa saya rasa saya tidak memberikan persembahan yang terbaik.

“Sebenarnya, ketika kami mula menjalani penggambaran, ayah saya sudah mula sakit. Pada waktu itu memang sukar untuk saya memberikan fokus sepenuhnya kerana saya perlu berulang-alik menguruskan pelbagai perkara.

“Saya selalu rasa mungkin saya boleh buat lebih baik atau mungkin ada babak yang saya patut lakonkan dengan cara berbeza. Tetapi saya sangat bersyukur kerana semua orang di set banyak membantu saya. Jadi, apabila penerimaan penonton sangat baik, saya benar-benar bersyukur dan tidak sangka orang menerima lakonan saya sebegitu baik,” katanya kepada Pancaindera.

Ditanya bagaimana dia merasakan perubahan dalam kehidupannya selepas lakonannya diterima, anak kepada pelakon, Datin Seri Noniswara itu tersenyum lebar apabila ibunya juga memuji dan berbangga dengannya.

“Jika ditanya tentang perubahan kehidupan selepas lakonan diterima, saya nampak di media sosial saja sebab saya belum keluar berjumpa orang lagi. Tapi daripada cerita ini, dia membuka ruang untuk lebih ramai orang tengok kerja saya.

“Ibu juga bangga. Dari dulu lagi, sama ada saya dapat watak kecil atau besar, dia sentiasa berbangga dengan saya. Dia tidak banyak memberi komen tentang peningkatan saya, tetapi saya tahu dia sentiasa menyokong saya,” kongsinya.

Kunci kekuatan untuk terus bangkit

Sejak penglibatannya dalam industri, pelakon berusia 27 tahun itu tidak terlepas diuji dengan pelbagai ujian seperti kes pecah rumah, kereta terbakar, dikecam pembenci dan kini kehilangan insan tercinta.

Jika orang lain, mungkin putus asa adalah jalan terbaik buat mereka. Namun, bagi Erysha hikmah di sebalik perkara yang dilalui itu menjadi kunci kekuatan buat dirinya.
“Sejak ayah meninggal dunia, saya selalu mengingatkan diri bahawa itulah kehidupan. Kita hidup di dunia ini memang untuk diuji. Cepat atau lambat, semua orang akan melalui kehilangan ibu atau ayah.

“Mungkin saya mengalaminya lebih awal, tetapi kehidupan tetap perlu diteruskan. Bagi sesiapa pun, kehilangan besar seperti ini memang mengambil masa untuk dipulihkan,” jelasnya.

Pun begitu, proses untuk benar-benar pulih bukanlah mudah. Ada kalanya dia masih merasakan bapanya hanya keluar bekerja dan akan pulang seperti biasa.

Perasaan itu membuatkan dia menyedari dirinya sedang melalui fasa kesedihan tertangguh atau ‘delayed grieving’ kerana perlu ketepikan segala kesedihan demi tuntutan kerja.

Soal golongan pembenci atau haters pula, Erysha menyifatkan perkara itu di luar kawalannya apatah lagi dirinya juga tidak mampu membuat hati semua pihak untuk menyukainya.

“Saya rasa perkara seperti ini memang tidak dapat dielakkan. Apabila berada dalam industri seni, kita perlu lebih berhati-hati dan lebih banyak bersabar dengan apa sahaja yang berlaku.

“Pernah saja saya luahkannya kepada rakan seperjuangan lain. Tetapi ada juga dalam kalangan mereka yang memiliki ramai haters dan dikecam lebih teruk berbanding saya.

“Jadi, saya memilih untuk mengabaikannya. Bukan dengan haters sahaja, tetapi dengan sesiapa pun. Kita memang tidak akan mampu memuaskan hati semua orang. Lebih baik saya berdiam diri,” luahnya.

Pengkhianatan mengajar diri

Menjayakan watak berkisarkan seorang wanita dikhianati sahabat sendiri menerusi drama Ikatan Terlarang, tanpa disangka, jalan cerita itu turut menyentuh pengalaman yang pernah dilaluinya dalam kehidupan sebenar.

Enggan berkongsi secara terperinci, pelakon berkulit sawo matang itu mengakui pernah melalui episod dikhianati orang terdekat sehingga meninggalkan kesan mendalam terhadap emosinya.

Bagaimanapun, pengalaman pahit itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus mempercayai orang lain, malah memilih untuk melihat setiap ujian sebagai satu proses mematangkan diri.

“Saya tidak boleh berkongsi secara terperinci, tetapi apa yang berlaku memang sangat menyakitkan. Namun saya percaya setiap orang mempunyai ujian berbeza-beza dan itu adalah sebahagian daripada kehidupan.

“Ada masanya kita menyalahkan diri sendiri atas segala yang berlaku. Tetapi sebenarnya tindakan orang lain hanyalah cerminan kepada peribadi mereka, bukannya menggambarkan siapa diri saya atau orang di sekeliling saya. Itu adalah diri mereka sendiri,” kongsinya.

Pengalaman tersebut turut mengubah cara Erysha melihat manusia, selain percaya setiap orang membawa luka dan ujian masing-masing yang kadangkala mempengaruhi cara mereka melayan orang lain tanpa disedari.

“Saya sentiasa berpegang pada prinsip bahawa orang yang pernah disakiti selalunya akan menyakiti orang lain. Mungkin mereka melakukannya tanpa sedar atau tidak menyedari kesan daripada perbuatan mereka,” jelasnya.

Tambahnya, memaafkan bukan bererti membenarkan apa yang berlaku, tetapi memberi ruang kepada diri sendiri untuk sembuh dan meneruskan kehidupan tanpa dibelenggu rasa marah atau kecewa.

Prinsip itu juga menjadi pegangan Erysha dalam kehidupan seharian kerana percaya setiap kebaikan yang dilakukan tidak pernah sia-sia walaupun tidak dihargai oleh manusia.

“Saya percaya setiap kebaikan yang kita lakukan tidak pernah sia-sia. Walaupun orang lain tidak menghargainya, tidak mengapa kerana Allah melihat segala-galanya. Jika Allah melihat kebaikan itu, pasti Allah akan membalasnya,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN