Bomba Kelantan paling ramai pegawai alami masalah kesihatan, Johor turut tersenarai - Utusan Malaysia

Bomba Kelantan paling ramai pegawai alami masalah kesihatan, Johor turut tersenarai

NOR HISHAM Mohammad (duduk enam dari kiri) bergambar beramai-ramai selepas menyampaikan sijil dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan' 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan' Terpuji Pegawai Bomba Bantuan Tahun 2023 JBPM Negeri Johor di Hotel Holiday Villa, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri ini berada pada kedudukan lima teratas jumlah pegawai mempunyai masalah kesihatan, iaitu 12 peratus daripada keseluruhan perjawatan.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, empat negeri lain ialah Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang dan Labuan.

Katanya, keputusan itu direkodkan berdasarkan program rintis peringkat kebangsaan, iaitu pelaksanaan Ujian Kemahiran Taktikal Kebombaan (UKTK) pada tahun lalu.

“Lima negeri yang mempunyai kadar peraturan pegawai mempunyai masalah kesihatan tertinggi adalah Kelantan sebanyak 14 peratus, diikuti Terengganu (13%), Johor dan Pulau Pinang (12%) dan Labuan (9%). Daripada 12,439 yang melaksanakan UKTK, seramai 9,313 lulus dan 3,126 gagal dalam ujian tersebut. 

“Daripada jumlah gagal dalam ujian itu, seramai 185 tidak tamat ujian, 901 mengalami masalah kesihatan, 423 mengalami masalah penyakit kronik, 446 mengalami kecederaan otot rangka dan 96 tidak hadir tanpa sebab,” katanya ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil Perkhidmatan 30 Tahun dan Sijil Perkhidmatan Terpuji Tahun 2023 JBPM Negeri Johor, di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah JBPM negeri, Siti Rohani Nadir.

Nor Hisham berkata, JBPM Kuala Lumpur merekodkan keputusan UKTK tertinggi dengan peratusan lulus sebanyak 88 peratus.

Turut mencatatkan rekod cemerlang ialah JBPM Selangor dengan 84 peratus, diikuti JBPM Sabah (83%), JBPM Perak (82%) dan JBPM Pahang (80%).

“JBPM Johor merekodkan kadar peratusan lulus sebanyak 69 peratus, ini agak membimbangkan kerana Johor adalah antara kedudukan teratas bagi jumlah pegawai yang mempunyai masalah kesihatan tertinggi.

“Hal ini perlukan langkah penambahbaikan yang drastik, dengan perubahan gaya hidup yang lebih sihat dan berkualiti agar tidak mengganggu mutu kerja pegawai,” katanya sambil memaklumkan UKTK akan menjadi penanda aras skor nasional antara JBPM negeri bermula tahun depan.

Tegasnya, sebagai sebuah organisasi kecemasan dengan beban kerja yang menuntut  kemampuan fizikal dan mental yang tinggi, elemen kecergasan dan kesihatan juga merupakan salah satu kriteria penting dalam mengukur tahap kecemerlangan pegawai.

“Pegawai bomba terdedah kepada tahap risiko pekerjaan yang tinggi, seperti keselamatan, bahaya kimia, ergonomik dan fizikal yang boleh membahayakan kehidupan mereka.

“Solusi terbaik mengatasi bahaya ini, anggota bomba mesti kekal sihat secara fizikal, mental dan peribadi untuk bekerja,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN