JOHOR BAHRU: Majlis Tertinggi Barisan Nasional (BN) perlu mengadakan perbincangan tentang cadangan MCA dan MIC yang mahu calon gabungan itu bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, bulan depan.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, perkara tersebut tidak wajar dibincangkan di luar platform kerana tidak akan berhasil.
“Presiden-presiden setiap parti dalam komponen BN akan memutuskan sama ada mahu calon daripada gabungan politik tersebut akan bertanding atau sebaliknya dalam PRK itu.
“Kita tunggu keputusan peringkat tertinggi BN. Kalau perkara ini dibawa dalam akhbar (media), ia tidak akan ke mana-mana,” katanya ditemui pada Majlis Rumah Terbuka UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Puncak Kasih, Bukit Layang-Layang, di sini hari ini.
Jumaat lalu, Jawatankuasa Pembangunan Politik MCA dilapor telah memutuskan untuk tidak terlibat dalam sebarang aktiviti kempen sempena PRK DUN Kuala Kubu Bharu sekiranya calon dikemukakan bukan daripada BN.
Sementara itu, Mohamed Khaled yang juga Menteri Pertahanan memberitahu pihaknya tidak tahu sama ada MCA atau MIC mempunyai calon masing-masing.
“Kerjasama politik antara BN dan PH akan mengambil masa, namun pengalaman yang ditempuh bersama dalam beberapa pilihan raya sebelum ini akan membantu kedua-dua pihak untuk lebih memahami.
“PRK dan PRN akan beri kita ruang untuk lihat apakah masalah, jurang atau perkara yang mesti kita uruskan bersama. Kerjasama politik ini masih baharu dan merupakan situasi yang tidak pernah berlaku dalam negara.
“Sudah tentu ia ambil masa, kita tidak anggap apabila kita bekerjasama dalam dua tahun ini segala-galanya berjalan lancar. Jadi, persoalannya adalah bagaimana kita nak uruskan perkara ini,” katanya.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang turut menafikan terdapat perpecahan dalaman dalam BN ketika ini.
PRK DUN Kuala Kubu Bharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong daripada DAP pada 21 Mac lalu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 11 Mei ini, manakala 27 April sebagai hari penamaan calon. – UTUSAN










