IPOH: Di sebalik kenaikan harga bahan mentah, seorang pengusaha biskut raya di sini memilih menjual biskut raya pada harga rendah sehingga ada yang menganggap tidak masuk akal.
Berkonsepkan harga `rahmah’, orang ramai boleh mendapatkan 32 jenis biskut raya dengan harga RM6 sebekas.
Menurut Khairruni Ahmad Zabidi, 63, dia yang mengusahakan perniagaan ‘Kuih Raya Opah Cik dan Opah Su’ bersama kakaknya, Suhairah, 64, mempunyai alasan tersendiri meletakkan harga serendah itu bagi jualan biskut raya mereka.
Kata Khairruni, niatnya hanya satu, untuk membolehkan pembeli terutama golongan tidak berkemampuan menikmati biskut raya.
“Walaupun harganya murah, tapi dari segi kualiti ia sama dengan biskut raya yang dijual pada harga RM30 sebekas. Kami tidak asingkan adunan sebab kami mahu pembeli merasai rasa yang sama.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Ada pembeli yang datang berkali-kali kerana puas hati dengan kualiti biskut raya yang ditawarkan,” katanya ketika ditemui di gerainya di kawasan parkir Stesen Minyak Shell di Jalan Hospital, di sini semalam.
Menurut Khairruni, dia memulakan jualan biskut harga `rahmah’ itu sejak tahun lalu dengan lebih 10,000 bekas biskut raya berjaya dijual.
Katanya, sambutan baik itu mendorongnya meneruskan jualan sama pada Aidilfitri kali ini walaupun terhimpit dengan kenaikan harga barang.
“Memang tidak untung besar seperti peniaga lain tapi saya berpuas hati lihat pembeli gembira. Jika RM50 boleh dapat satu atau dua jenis biskut raya sahaja, di sini mereka boleh beli sehingga 10 jenis biskut.
“Lagipun, biskut raya ini dihasilkan oleh saya dengan dibantu lapan pekerja. Jadi dari segi harga, saya masih boleh kawal,” katanya.
Tambah Khairruni, proses pembuatan biskut raya bermula pada 1 Ramadan lalu dan setakat ini, sebanyak 5,000 bekas biskut raya berjaya dijual.
“Jualan baru sahaja bermula Jumaat lalu tapi sudah banyak biskut raya yang dijual. Pembelinya pula bukan hanya dari Ipoh tapi daerah luar sehingga ke Tanjung Malim,” katanya. – UTUSAN










