KOTA BHARU: Bekas penyerang Harimau Malaya yang juga pemain Kelantan Apandi Yusof, 73, di era 70-an terpaksa ditidurkan selepas disahkan mengalami jangkitan kuman kronik pada paru-paru.
Farah Adila, 40, berkata, ketika ini ayahnya berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (Hospital USM) Kubang kerian.
Menurutnya, ayah dimasukan ke Hospital USM sejak Khamis lalu selepas rebah semasa berada di dalam bilik.
“Semasa kejadian ayah berada seorang diri rumah. Sebelum itu adik saya dan ibu sudah beberapa kali menghubungi ayah namun tiada dijawab.
“Risau dengan keadaan itu, kami menghubungi ibu saudara dan memintanya untuk memeriksa keadaan ayah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Farah Adila memberitahu, semasa ditemukan oleh ibu saudara ayah berada dalam keadaan terbaring dan separuh sedar.
Katanya, selepas itu ayah telah dirujuk ke Hospital USM dan doktor memberitahu paru-paru sudah kronik selepas terkena jangkitan kuman.
“Kepada yang mengenali ayah, saya menyeru supaya mendoakan dia kembali pulih seperti biasa.
“Keadaan ayah ketika ini sangat kritikal. Petang nanti dia akan menjalani pembedahan bagi membolehkan rawatan dialisis dilakukan selepas buah pinggangnya gagal berfungsi,” ujarnya.
Farah Adilah berkata, sebelum kejadian ayah ada ke klinik untuk membuat pemeriksaan selepas kakinya bengkak.-UTUSAN









