Bayar RM10 boleh naik bot MRC, Taming Sari

Bayar RM10 boleh naik bot MRC, Taming Sari

AB. RAUF Yusoh merasmikan Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah Sempena TMM 2024 di Kios Cenderamata, Banda Hilir, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri akan melancarkan pakej Melaka Nightlife yang menawarkan harga RM10 kepada setiap pengunjung untuk melawat beberapa produk pelancongan bermula 1 Jun ini, sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, dengan harga RM10 pengunjung boleh menaiki Bot Melaka River Cruise (MRC), Menara Taming Sari dan muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka (Perzim).

Menurutnya, tawaran istimewa itu boleh dimanfaatkan semua pengunjung bermula dari pukul 11 malam sehingga 3 pagi.

“Pakej ini diperkenalkan rentetan daripada kejayaan kemasukan percuma di 10 lokasi pelancongan utama pada 20 Februari lalu sempena memperingati peristiwa pengisytiharan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu.

“Ekoran kejayaan itu, kita perkenalkan pakej Melaka Nightlife sempena TMM 2024, hanya diadakan sebulan sekali iaitu pada awal bulan sahaja. Harga yang ditawarkan RM10 merangkumi tiket pusat pelancongan dan cenderamata khas bernilai RM10.

“Melalui pembelian RM20, pengunjung dan pelancong akan menerima kupon cabutan bertuah dan berpeluang memenangi hadiah lebih menarik pada cabutan untuk suku kedua,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pelancaran Kempen Beli Cenderamata dan Menang, Aplikasi Jom Melaka Cari Makan dan Cabutan Bertuah Sempena TMM 2024 di Kios Cenderamata, Banda Hilir di sini, hari ini.

Tambah Ab. Rauf, hadiah untuk suku kedua lebih hebat dan menarik dengan menawarkan tiga buah kereta bernilai lebih RM90,000.

Menurutnya, pelbagai aktiviti bakal diadakan melalui pakej berkenaan termasuk pertunjukan bunga api setiap satu jam sehingga pukul 3 pagi.

Sementara itu, bagi cabutan bertuah Januari hingga Mac, tiga pemenang telah dipilih iaitu Lee See Keong yang memenangi kereta Proton Pesona 1.6 CVT Standard bernilai RM47,850, Kamarul Aini Harun (Perodua Aruz 1.5X berharga RM73,055) dan Rohayu Rahmat (Proton X50 bernilai RM85,980). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN