8,871 premis perlu pengurus, pegawai keselamatan kebakaran kompeten - Utusan Malaysia

8,871 premis perlu pengurus, pegawai keselamatan kebakaran kompeten

AMINUDDIN Harun (tengah) menyaksikan Majlis Tandatangan Letter of Intent di antara JBPM - HRD Corporation di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Seremban hari ini.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengenal pasti sebanyak 8,871 premis seluruh negara yang perlu mempunyai pengurus dan pegawai keselamatan kebakaran yang kompeten serta bertauliah di dalam bangunan ditetapkan menjelang tahun 2026.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, sehubungan itu dalam tempoh masa dua tahun ini, sekiranya mendapat kelulusan daripada Kabinet, pihaknya akan memulakan program untuk melatih pengurus dan pegawai keselamatan kebakaran. 

“Untuk melahirkan pengurus dan pegawai keselamatan kebakaran yang kompeten itu mereka perlulah dilatih dan latihan tersebut kami akan guna khidmat luar untuk membekalkan latihan. 

“Bagaimanapun, bagi melaksanakan tujuan itu JBPM perlu mendapat kelulusan daripada Kabinet dahulu dan insya-Allah jika dapat kelulusan tersebut, pada 2026 baharu kita akan kuat kuasakan peraturan yang disyaratkan berkaitan itu di mana perlu wujudnya dua jawatan tersebut di premis ditetapkan. 

“Terdapat sembilan kategori bangunan ditetapkan namun secara asasnya premis tersebut perlulah mempunyai sistem semburan air automatik. Di Negeri Sembilan sahaja, kami mengenal pasti terdapat sebanyak 452 buah premis ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Tandatangan Letter of Intent JBPM – HRD Corporation dan Majlis Perasmian Seminar Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 JBPM Negeri Sembilan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dan Ketua Eksekutif Human Resource Development Cooperation (HRD Corp), Datuk Wira Shahul Dawood. 

Nor Hisham dalam pada itu berkata, penganjuran program berkenaan adalah sebahagian daripada langkah pertama JBPM untuk membuat pindaan terkini Akta Perkhidmatan Bomba 1988. 

“JBPM dalam usaha mencadangkan pindaan akta tersebut di mana dalam salah satu penilaian impak kepada peraturan yang disyaratkan oleh kerajaan adalah perlu ada keterlibatan kerajaan negeri. Maklum balas daripada kerajaan negeri kami akan ambil,” katanya.

Ujar beliau, Seminar OKK adalah platform yang terbaik dalam memperkukuhkan pengetahuan daripada aspek keselamatan kebakaran terutama orang yang bertanggungjawab bagi memastikan premis atau bangunan yang didiami berada dalam keadaan selamat disamping mendapat maklumat terkini. 

Seramai 1,000 peserta hadir terdiri daripada pengurus dan pemilik premis hadir pada seminar berkenaan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN