500 ekor ayam segar habis dijual kurang satu jam

500 ekor ayam segar habis dijual kurang satu jam

PENGUNJUNG mengambil kesempatan membeli ayam yang dijual murah pada program Agro Madani @ Peladang Outlet di Kuala Terengganu, semalam. - UTUSAN/KAMALIZA KAMARUDDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Lebih 500 ekor ayam segar yang dijual dengan harga RM7.60 sekilogram, habis dijual dalam tempoh kurang satu jam pada program Agro Madani @ Peladang Outlet Aidilfitri 2024 di sini, semalam.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Terengganu, Hasmila Abas berkata, program yang berlangsung di pekarangan Masjid Jamek Pengadang Baru di sini mula diserbu pengunjung seawal pukul 7 pagi.

Menurutnya, bahan mentah lain yang turut dijual kepada orang ramai ialah 10 tan beras dan 1.2 tan daging lembu segar.

“Alhamdulillah, beras 10kg sekampit dijual dengan harga RM26 manakala sebanyak 400kg daging dijual pada harga RM27 untuk 400 pembeli pertama.

“Sambutan yang diterima sangat menggalakkan dan LPP Terengganu berharap program ini dapat meringankan beban orang ramai dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak gerai usahawan pada program tersebut semalam.

Sepanjang April, LPP Terengganu merancang mengadakan 14 program jualan seumpama itu di semua lapan daerah untuk memastikan lebih ramai penduduk dapat memberi barangan keperluan dengan harga murah.

Hasmila berkata, pihaknya menyasarkan 5,000 pengunjung hadir ke setiap program Agro Madani @ Peladang Outlet dengan penyertaan lebih 30 usahawan tempatan.

“Selain itu, sasaran kita hasil jualan pula ialah RM100,000 pada setiap program dan memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu penjual dan pembeli secara langsung.

“Semua produk yang dijual lebih murah antara 30 hingga 40 peratus berbanding harga pasaran semasa,” katanya.

Beliau berkata, satu lagi program seumpama itu akan dilaksanakan pada 8 April ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×