CAMERON HIGHLANDS: Sebanyak 14 buah rumah di Kampung Gerak Sepadu, Taman Desa Corina di sini terlibat banjir kilat ekoran limpahan air dari Sungai Kampung Raja.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cameron Highlands, Amir Nuddin Mat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 1.18 pagi.
“Sebanyak 14 buah rumah terlibat dan keadaan banjir surut sepenuhnya ketika pihak bomba dan jentera tiba di lokasi.
“Mangsa bagaimanapun selamat dan tidak melibatkan pemindahan, manakala kerja membersihkan sisa kotoran banjir kilat dilakukan oleh penduduk di situ selepas air surut,” katanya di sini hari ini.
Menurut Amir Nuddin, limpahan air dari sungai tersebut menyebabkan paras air dianggarkan setinggi kira-kira 1.5 meter di kawasan tempat tinggal di situ.
Ujarnya, seramai 10 anggota BBP Cameron Highlands melakukan pemeriksaan di lokasi bagi memastikan keadaan benar-benar selamat dan tiada kecemasan lain. – UTUSAN











