PUTRAJAYA: Mana-mana individu umat Islam tidak kira sama ada memakan beras tempatan atau beras lebih tinggi kualitinya, tetap sah zakat fitrahnya jika dibayar mengikut kadar asas yang ditetapkan berjumlah RM7 seorang bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pemilihan harga yang lebih tinggi bukannya satu kewajipan, sebaliknya hanya sebagai satu galakan dan dianggap lebih baik jika berkemampuan.
Menurut beliau, umat Islam perlu memahami perkara asas pembayaran zakat fitrah adalah mengikut makanan ruji tempatan iaitu beras bagi rakyat Malaysia.
“Justeru, hukum asalnya fitrah dibayar menggunakan beras atau dibayar dengan nilai yang mewakili jumlah beras fitrah yang wajib ditunaikan.
“Jadi tidak tidak timbul isu ketiadaan beras tempatan kerana kadar asas fitrah telahpun mengambil kira julat harga beras tempatan dan juga beras import biasa,” katanya di sini semalam.
Beliau mengulas berhubung kekeliruan umat Islam berhubung kadar harga zakat fitrah yang perlu dibayar mengikut beras yang dimakan, sedangkan negara ketika ini berdepan kesukaran mendapatkan beras tempatan kerana kekurangan bekalan ketika ini.
Situasi itu mengakibatkan ramai terpaksa menggunakan beras import yang bukan menjadi pilihan walaupun bukan dalam kalangan berpendapatan tinggi.
Menurut Mohd. Na’im, penetapan kadar fitrah yang dianggap sah iaitu RM7 seorang bagi tahun 1445H/2024M diputuskan menerusi Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-143 pada 30-31 Oktber 2023.
Keputusan itu kemudiannya diwartakan di bawah seksyen 34 Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam Wilayah Persekutuan 1993.
Jelasnya, penetapan kadar tersebut adalah berdasarkan harga beras super special tempatan (5 peratus kandungan beras hancur) dan beras import biasa.
Bagi umat Islam yang lebih berkemampuan dan ingin membayar zakat fitrah mengikut jenis beras yang dimakan boleh memilih kadar RM15 seorang (pengguna beras import premium) atau RM22 seorang (pengguna Beras Basmathi).










