SHAH ALAM: Mahkamah Majistret membenarkan seorang lelaki warga Pakistan direman tujuh hari selepas dipercayai membunuh rakan sekerjanya dari Bangladesh dengan menikam mangsa berkali-kali dalam satu kejadian, petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, lelaki berusia 51 tahun itu direman sehingga 26 Mac ini selepas Mahkamah Majistret membenarkan permohonan tersebut.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, seorang pekerja kilang maut dipercayai ditikam berkali-kali oleh rakan sekerjanya dalam hostel sebuah kilang dekat Seksyen 36, di sini, kelmarin.
Mohd. Iqbal Ibrahim memberitahu, kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa warga Bangladesh berusia 49 tahun minum air oren milik suspek ketika sedang berbuka puasa.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian kira-kira pukul 7.20 malam daripada pekerja lelaki di kilang berkenaan.
“Kejadian berpunca daripada suspek marah apabila simati meminum air orennya semasa berbuka puasa. Suspek bertindak menikam simati beberapa kali dengan pisau yang diambil daripada dapur.
“Pada hari sama, kira-kira 10 minit kemudian, tangkapan dibuat ke atas suspek di tempat kejadian. Suspek seorang lelaki berusia 51 tahun bekerja bersama-sama mangsa. Turut dirampas pisau digunakan untuk menikam mangsa,” katanya. – UTUSAN










