KUANTAN: Seorang mekanik warga Kemboja dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya selepas menjala ikan bersama dua rakannya di Sungai Mati, Tanjung Putus, Bukit Rangin di sini kira-kira pukul 10 malam tadi.
Difahamkan, ketika kejadian, rakan mangsa melihat kelibat haiwan berkenaan dilokasi Sary Tolos, 26, dilaporkan hilang.
Mangsa dan seorang lagi rakannya dikatakan turun ke sungai terbabit untuk melepaskan jala yang tersangkut sebelum hilang.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, mangsa melakukan aktiviti menjala bersama dua rakannya juga warga Kemboja, Fisol Ysa dan Hanifa Rorny.
“Dalam kejadian itu, pengadu iaitu Fisol telah pergi menjala ikan bersama dua rakannya dan ketika melakukan tebaran kedua, jala mereka telah tersangkut.
“Ketika itu, dua rakannya termasuk Sary turun ke sungai bagi melepaskan jala namun secara tiba-tiba mangsa tenggelam dan terus hilang dalam air,” katanya di sini hari ini
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Indera Mahkota dan masing-masing seorang pegawai daripada BBP Taman Tas serta Rompin tiba di lokasi kejadian kira-kira pukul 10.09 malam tadi.
“Semalam bomba membuat operasi pencarian di sekitar sungai sehingga kira-kira pukul 1.10 pagi tadi dan dihentikan berikutan keadaan yang semakin gelap. Pencarian disambung semula kira-kira pukul 8 pagi ini dan operasi masih berjalan,” katanya. – UTUSAN










