KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu, sejumlah dana Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) yang dipindahkan kepada SRC International, dimasukkan ke dalam akaun Datuk Seri Najib Tun dan beberapa `syarikat samaran’.
Angela Barkhouse berkata, sebanyak AS$120 juta `masuk akaun’ bekas Perdana Menteri manakala AS$80 juta dipindahkan ke akaun bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil.
Ujarnya, wang yang diterima bekas Perdana Menteri itu disalurkan melalui Blackstone Asia Real Estate Partners Ltd di British Virgin Island (BVI).
Beliau yang juga pakar pemulangan aset rentas sempadan berkata, sebanyak AS$18 juta dimasukkan ke dalam akaun syarikat produksi filem, Red Granite Capital milik anak tiri Najib, Riza Aziz yang dikawal oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Angela menyatakan demikian dalam pernyataan saksi ketika memberi keterangan secara Zoom pada perbicaraan kes saman SRC International terhadap bekas Perdana Menteri.
Menurut saksi plaintif kedua itu, pemeriksaannya terhadap bukti dokumen entiti luar pesisir tertentu yang dikaitkan dengan aliran wang SRC International mendapati, syarikat itu bertindak selaku `syarikat cangkerang’ yang tidak menjalankan perniagaan yang sah.
Ujar beliau, penemuan itu diperoleh ketika bertindak sebagai pelikuidasi bagi SRC BV untuk sebilangan entiti luar pesisir melibatkan SRC International ketika menjejaki kes pengubahan wang haram.
Angela yang juga pakar pemulangan aset luar pesisir yang berpangkalan di Pulau Cayman berkata,
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung esok.










