Uzur tidak halang Abdullah berpuasa - Utusan Malaysia

Uzur tidak halang Abdullah berpuasa

AZli Mohd. Noor (kiri) menyampaikan sumbangan wang tunai Hari Raya Aidilfitri kepada Abdullah Sutan Kudun sempena Sambutan Hari Peringatan Polis Ke-217 di Kampung Tanjung Buluh di Lipis, Pahang. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LIPIS: Seorang bekas homeguard atau pengawal kawasan zaman darurat, Abdullah Sutan Kudun, 87, masih mampu berpuasa setiap kali Ramadan walaupun kesihatannya kerap uzur.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Abdullah berkata, dia bangun seawal pukul 3 pagi bersolat tahajud dan kemudian bersahur yang disediakan anak lelakinya kerana isterinya sudah lama meninggal dunia.

“Walaupun kesihatan saya tidak menentu, saya tetap ber­puasa selagi termampu malah ketika berpuasa ketika ini keadaan tubuh badan saya agak segar dan mampu bergerak di dalam rumah.

“Sejak bertugas sebagai pengawal zaman darurat, saya amalkan puasa sunat, kurang minuman manis dan tidak makanan berlemak antara punca badan saya cergas sehingga usia ini,” katanya di Kampung Tanjung Buluh, di sini semalam.

Bercerita kisah perjuangannya menentang komunis era darurat, Abdullah berkata, dia bertugas sebagai ‘mata-mata’ risik di daerah Lipis dan Jerantut untuk mengetahui lokasi pengganas bersembunyi di hutan termasuk aktiviti memperoleh makanan daripada penduduk setempat.

“Peristiwa pertempuran dengan pengganas komunis di Kuala Tembeling, Jerantut masih segar dalam ingatan apabila ratusan peluru tembakan musuh ‘terbang’ di atas kepala ketika saya dan 15 anggota pasukan kami meniarap.

Katanya, dia bernasib baik kerana terselamat daripada peluru-peluru tersebut.
Abdullah yang mempunyai enam orang anak antara bekas pengawal kawasan yang masih hidup.

MENGINTIP

Beliau juga pernah ditugaskan membantu pasukan keselamatan mengintip aktiviti pergerakan dadah di sekitar kawasan Pantai Timur dan berkebolehan mengesan bahan terlarang pada tubuh badan seseorang pengedar.

Warga emas itu pernah dianugerahkan sijil penghargaan pada 30 Ogos 2021 atas sumbangannya dalam tempoh Darurat 1948 bermula 12 Julai 1948 hingga 30 Ogos 1957.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd. Noor berkata, Abdullah merupakan bekas pengawal kasawan yang masih ada termasuk seorang lagi penduduk di situ, Kamarudin Li, 85.

Menurut beliau, kedua-dua pejuang itu berada di bawah pemantauan kebajikan kerana Kampung Tanjung Buluh dipilih sebagai Kampung Angkat Homeguard, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lipis.

“Seorang bekas homeguard yang paling tua di negara ini, Mat Ariffin Mat Deris sudah meninggal dunia dalam usia 114 tahun pada tahun lalu kerana sakit tua,” katanya.
Katanya, jasa pengawal ketika zaman darurat terus dikenangkan oleh genarasi masa kini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×