PETALING JAYA: Kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bagi memastikan kepentingan negara dan rakyatnya terpelihara daripada sebarang tuntutan tidak berasas selain mengancam kedaulatan negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tindakan pembiayaan litigasi pihak ketiga yang tidak beretika berpotensi memberi ancaman serius terhadap kedaulatan negara.
Oleh itu, menurut beliau, RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 akan dibentangkan bagi bacaan kali kedua di persidangan Dewan Rakyat pada 18 Mac ini.
“RUU yang akan diperkenalkan buat kali pertama dalam sejarah Malaysia ini akan menerima pakai undang-undang adat antarabangsa (customary international law).
“Meskipun peranan mereka membantu pihak yang tidak mampu mendapatkan keadilan tidak boleh dinafikan, namun ketidakwujudan suatu kerangka kawalan menyebabkan mereka mengeksploitasi tuntutan perundangan yang remeh ataupun palsu.
SISTEM
“Pihak yang menyalahgunakan sistem perundangan menyasarkan negara berdaulat, demi kepentingan dan keuntungan sesuatu perkara,” katanya menerusi satu hantaran di laman sosial X miliknya, hari ini.
Terdahulu, United Tausug Citizens (UTC) dilaporkan menghantar tuntutan RM70.2 bilion ke atas pemilikan yang didakwa sebagai ‘Cession Money’ atau Wang Penyerahan Wilayah.
Selain itu, UTC dalam tuntutan itu juga mahu Malaysia mengiktiraf pertubuhan itu sebagai ‘kerajaan yang berdaulat dan merdeka’.
Mengulas lanjut, Azalina menegaskan ada RUU khusus di negara ini boleh memberi kesan tindakan-tindakan pihak tidak beretika itu menggugat keselamatan sesebuah negara.
“Tindakan ini bukan sahaja menggugat integriti sistem perundangan, tetapi juga boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat dan negara secara keseluruhan.
“Dalam hal ini, kawal selia yang ketat adalah wajar diwujudkan dalam memastikan kepentingan sesebuah negara dan rakyatnya sentiasa dipelihara,” katanya. – UTUSAN











