KUANTAN: Tiga penjenayah dikenali sebagai Geng Centro mati ditembak sepasukan polis selepas berbalas tembakan di kilometer 17, Jalan Pintasan Pekan-Kuantan di sini, kira-kira pukul 11.30 malam tadi.
Kejayaan itu hasil kerjasama pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Selangor dan Pahang yang melakukan risikan terhadap kumpulan itu sejak Jun lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, geng penjenayah itu dipercayai terbabit dalam enam kes samun dan pecah masuk kedai emas di empat negeri membabitkan jumlah kerugian keseluruhan melebihi RM4 juta.
“Terdahulu, pegawai dan anggota polis mengesan sebuah kereta jenis Proton Waja dinaiki tiga suspek dalam keadaan mencurigakan di kawasan perumahan dekat bandar Pekan.
“Pasukan polis kemudiannya memperkenalkan diri bagi tujuan melakukan pemeriksaan terhadap suspek, namun suspek memecut kenderaan menghala ke Kuantan dan tiba di kilometer 17 Jalan Pekan-Kuantan, suspek menghimpit dan melanggar bahagian belakang kenderaan polis.
“Dalam kejadian itu, seorang daripada suspek melepaskan beberapa das tembakan mengakibatkan pegawai dan anggota kita terpaksa membalas tembakan itu,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Yahaya berkata, suspek berusia antara 34 hingga 44 tahun merupakan warga asing iaitu seorang Bangladesh dan dua Vietnam.
Jelasnya, ketiga-tiga mereka disahkan maut dalam kejadian berbalas tembakan itu.
“Hasil pemeriksaan, suspek warga Bangladesh memiliki lesen memandu yang sah dan dipercayai sudah lama menetap di Malaysia, malah kenderaan digunakan juga milik suspek warga Bangladesh.
“Dua lagi suspek warga Vietnam sering keluar dan masuk ke negara ini dan kita sedang siasat apa yang mereka buat selain menjadi penjenayah dan pihak polis tidak menolak kemungkinan masih terdapat saki-baki ahli Geng Centro dan rakan sejenayah mereka yang lain.
“Mereka (suspek) samun kedai emas, jadi ke mana mereka jual atau lupuskan barang kemas itu? Jadi perkara ini pun kita akan tengok juga,” katanya.
Modus operandi suspek menyerang mangsa dengan kekerasan sebelum melakukan rompakan dengan memecah masuk kedai emas melalui pintu hadapan atau belakang dengan menebuk peti besi menggunakan mesin menggerudi.
Sementara itu, tambah beliau, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan suspek, pihak polis menemukan sepucuk pistol jenis Glock 17 dan tujuh peluru, mesin pencanai, mesin menggerudi dan pelbagai lagi peralatan pertukangan yang digunakan untuk melakukan jenayah tersebut.
“Dengan tertumpasnya kumpulan Centro polis berjaya menyelesaikan enam kes samun dan pecah masuh kedai emas iaitu tiga kes di Perak dan masing-masing satu di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.
“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya. – UTUSAN










