Tiada jaminan isteri Tun Daim tidak akan lari ke luar negara

Tiada jaminan isteri Tun Daim tidak akan lari ke luar negara – Pendakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Tiada jaminan isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Toh Puan Na’imah Abdul Khalid tidak akan melarikan diri ke luar negara jika pasportnya dikembalikan secara kekal, hujah pihak pendakwaan di Mahkamah Tinggi di sini semalam.

Pasport Na’imah ditahan oleh Mahkamah Sesyen sebagai syarat jaminan ekoran pendakwaan terhadapnya kerana gagal mengisytiharkan harta.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin berhujah, isteri Tun Daim Zainuddin itu boleh mengemukakan permohonan pada bila-bila masa agar pasportnya dikembalikan secara sementara jika beliau bercadang ke luar negara.

Ditanya Hakim Datuk Ahmad Bache tempoh pemula­ngan pasport jika pemohon berhasrat membawa suaminya ke luar negara, Wan Shaharuddin menjelaskan pasport itu boleh diperoleh pada hari yang sama permohonan dikemukakan.

Sehubungan itu, beliau berhujah, permohonan Na’imah tidak wajar dibenarkan kerana ia dikhuatiri akan mewujudkan persepsi masyarakat dan me­nimbulkan ketidakadilan kepada tertuduh lain.

“Status pemohon telah berubah dan tidak sama dengan individu lain, beliau kini seorang tertuduh. Maka perlu ada sekatan melalui penahanan pasport,’’ hujah Wan Shaharuddin.

Mahkamah sedang mende­ngar permohonan Na’imah, 67, untuk menyemak perintah Mahkamah Sesyen yang menahan pasportnya selepas didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan harta.

Terdahulu, peguam M. Puravalen ketika berhujah mewakili Na’imah berkata, pendakwaan tidak mengetengahkan bukti khusus atau berdokumen yang menunjukkan anak guam­nya cenderung melarikan diri atau tidak hadir prosiding mahkamah.

Hujah beliau, pihak pendakwaan tidak mengemukakan alasan yang spesifik atau kukuh ketika memohon pasport beliau ditahan.

Oleh demikian, hujahnya, perintah Mahkamah Sesyen bagi penahanan pasport adalah salah di sisi undang-undang dan menyebabkan pelanggaran prinsip keadilan yang serius terhadap anak guam dan perkara itu wajar disemak.

Namun demikian, Timbalan Pendakwa Raya Mohd. Fadhly Mohd. Zamry berhujah, Hakim Azura Alwi telah menggunakan budi bicaranya ketika membenarkan syarat jaminan agar pasportnya ditahan.

Pada 23 Januari lalu, Na’imah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini kerana gagal mengisytiharkan 12 harta seperti yang dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember 2023.

Harta-harta itu melibatkan dua buah syarikat, Ilham To­wer Sdn. Bhd. dan Ilham Baru Sdn. Bhd. serta dua kenderaan mewah Mercedez Benz.

Selain itu, lapan hartanah didakwa turut gagal diisytiharkan iaitu Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, kediaman di Pesiaran Bukit Tunku serta tanah dan bangunan berstatus pega­ngan bebas di Bukit Tunku, Pulau Pinang dan Taman Tun Dr. Ismail.

Hakim Ahmad menetapkan keputusan permohonan Na’imah pada 22 Mac ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN