JAKARTA: Pasukan penyelamat di Indonesia menemukan empat mayat termasuk dua kanak-kanak selepas tanah runtuh dan banjir melanda Kampung Cibenda di Provinsi Jawa Barat manakala enam lagi masih hilang.
Kampung berkenaan ditenggelami air sebelum tengah malam pada petang Ahad selepas hujan lebat berjam-jam ketika ramai penduduk kampung sedang tidur.
Menurut Ketua Agensi Mitigasi Bencana Tempatan, Meidi, seramai 10 orang pada mulanya dilaporkan hilang dan berpuluh-puluh rumah rosak, memaksa ratusan orang berpindah.
“Sehingga pagi ini, empat mayat ditemukan dan enam lagi masih dalam pencarian,” katanya memberitahu AFP.
Indonesia terdedah kepada tanah runtuh semasa musim hujan dan masalah itu diburukkan di beberapa tempat dengan penebangan hutan dengan hujan lebat yang berpanjangan menyebabkan banjir di beberapa kawasan di negara kepulauan itu.
Awal bulan ini, banjir kilat dan tanah runtuh di Pulau Sumatera mengorbankan sekurang-kurangnya 30 orang dengan masih ramai yang hilang.
Tanah runtuh dan banjir menghanyutkan berpuluh-puluh rumah dan memusnahkan sebuah hotel berhampiran Tasik Toba di Sumatera pada Disember, mengorbankan sekurang-kurangnya dua orang. -AFP











