Tambahan 300 kaunter fizikal daftar PADU

Tambahan 300 kaunter fizikal daftar PADU

MOHD. UZIR Mahidin bercakap kepada pemberita ketika ditemui selepas meninjau proses pendaftaran sistem PADU di UTC Bandaraya Melaka, Melaka. - UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Sebanyak 300 lagi kaunter fizikal akan dibuka di seluruh negara bagi memudahkan orang ramai mendaftar sistem Pangkalan Data Utama (PADU) menjelang tarikh akhir Ahad ini.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd. Uzir Mahidin berkata, pembukaan lebih banyak kaunter itu bertujuan untuk memberi peluang kepada rakyat yang masih belum mendaftar.

Kata beliau, setakat ini lebih 6,000 kaunter fizikal telah dibuka di pelbagai lokasi bagi membantu golongan sasar seperti warga emas dan orang kurang upaya (OKU) untuk mendaftar

“Setakat ini 8.79 juta rakyat Malaysia atau kira-kira 40 peratus daripada sasaran telah mendaftar sistem PADU. Jumlah ini dijangka meningkat dalam tempoh empat hari terakhir kerana ketika ini purata pendaftaran harian adalah 350,000 membabitkan pelbagai medium.

“Jadi kita akan buka kira-kira 300 lagi kaunter fizikal bagi melancarkan proses pendaftaran. Kita akan menggembleng tenaga bersama pelbagai agensi seperti Jabatan Penerangan untuk memastikan lebih ramai rakyat mendaftar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas memantau pendaftaran sistem PADU di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Melaka di sini, hari ini.

Tambah Mohd. Uzir, kaunter fizikal akan ditutup pukul 5 petang pada 31 Mac ini berbanding mengikut waktu operasi setiap agensi yang mengendalikan pendaftaran PADU.

Menurutnya, nombor giliran tidak akan dikeluarkan selepas tempoh tersebut bagi mengelakkan orang ramai datang pada saat akhir.

“Kita menyeru orang ramai memahami perkara ini kerana bimbang orang ramai akan berpusu-pusu datang selepas pukul 5 petang. Kita bimbang proses pendaftaran tidak dapat diselesaikan jika datang terlalu lewat. Bagi pendaftaran dalam talian akan dibuka sehingga 11.59 malam,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN