Tahun ini ramai beraya ikut kemampuan

Tahun ini ramai beraya ikut kemampuan

Ramai memberitahu mereka hanya membuat persiapan raya secara sederhana tahun ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Ramai yang memberitahu mereka tidak akan berhutang semata-mata untuk kelihatan bergaya ketika Hari Raya Aidilfitri.

Seorang pekerja swasta, Syajaratul Huda Mohamad Rosli, 42, berkata, dia hanya membeli sehelai baju kurung dan dua baju biasa untuk dipakai pada hari raya ni.

“Kuih raya saya masih beli seperti tahun-tahun sebelum ini sebab ia tradisi ketika hari raya. Cuma, perabot dan sofa saya tidak tukar. Langsir sahaja yang bertukar baharu,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Penjawat awam, Nur Farhannis Mat Isa, 27, berkata, dia tidak sanggup untuk berhutang apatah lagi membuat pinjaman semata-mata untuk beraya.

“Tak semua barang (kelengkapan hari raya) perlu baharu, tetapi, sekurang-kurangnya mestilah ada sedikit keraian seperti kuih raya dan pakaian yang bersih di hari lebaran nanti,” katanya.

DIBADAN

Di Perak, seorang usahawan, Raziah Badaruddin, 61, berkata, sebaiknya setiap individu perlu ukur baju dibadan sendiri sebelum membuat pinjaman.

“Fikirkan impak pada masa akan datang iaitu komitmen hutang yang perlu dilunaskan nanti termasuk kadar faedah yang dikenakan,” katanya.

Sementara itu, seorang usahawan kerepek, Kasim Osman, 66, berkata, sebaiknya dalam kehidupan perlu sederhana dan jangan bermewah-mewah.

“Bersyukur dengan apa sahaja yang kita ada dan ambil masa untuk meningkatkan taraf kehidupan masing-ma­sing terlebih dahulu,” katanya.

Di Terengganu, seorang ibu tunggal dari Bukit Ara,Ajil, Zulina Muhamad, 47, berkata, dia belum melakukan persiapan kerana kekangan kewa­ngan dan perlu mengutamakan keperluan persekolahan anak terlebih dahulu.

RAYA

Katanya, selama ini, dia te­lah biasa menyambut hari raya dalam serba kekurangan dan tidak sanggup berhutang untuk menyediakan kelengkapan raya.

“Tahun-tahun sebelum ini, saya cuma pakai pakaian terpakai disumbangkan orang lain. Raya kali ini, kalau ada yang beri bolehlah dipakai, jika tiada sarunglah baju sedia ada,” katanya.

Seorang suri rumah di Kampung Buluh, Hulu Terengganu, Rohani Deraman, 53, berkata, dia yang tinggal di kampung menyambut Aidilfitri mengikut kemampuan dan tidak perlu berhutang untuk bergaya.

“Cukuplah sepasang untuk dipakai raya pertama. Keadaan ekonomi sekarang menuntut ramai orang perlu lebih berjimat-cermat, guna apa yang ada dan selagi dapat digunakan.

“Langsir dan sarung kusyen pakai yang sedia ada sahaja. Biskut raya pun buat sendiri sekadar termampu kerana tidak lengkap raya rasanya kalau biarkan meja kosong,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×