KUALA LUMPUR: Pendirian Pemuda UMNO berhubung isu stoking yang tertera kalimah Allah adalah mewakili UMNO secara keseluruhannya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebentar tadi, sekaligus menjelaskan ia mendapat sokongan penuh berhubung pendirian yang disuarakan secara lantang oleh Ketua Pemudanya, Dr. Muhamad Akmal Saleh.
“Isu yang dibawa Pemuda UMNO adalah mewakili UMNO, ia pun dibincangkan dalam MKT dan seluruh ahli majlis MKT menyokong penuh pendirian itu,” katanya dalam sidang media di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Akmal sebelum ini secara lantang bersuara dengan menggesa semua pihak meneruskan usaha memboikot kedai rangkaian serbaneka KK Mart yang terpalit dengan kontroversi kerana menjual stoking bertulis kalimah Allah.
Tegasnya, kempen boikot ini diadakan untuk memberi pengajaran keras kepada semua pihak yang sewenang-wenangnya memperlekehkan isu agama dan bangsa.
Susulan daripada itu, beberapa pemimpin utama negara menyelar tindakan tersebut dengan menyifatkan ia mampu menjejaskan UMNO.
Mengulas lanjut mengenai hubungan dalam parti Kerajaan Perpaduan, Asyraf turut menegaskan, ia tidak terjejas kerana pemimpin Kabinet masih menghormati pendirian UMNO sehingga hari ini.
“Tidak ada apa yang harus dijejaskan, yang penting kenyataan tadi..UMNO terus pertahankan kesucian Islam, bahkan kita meletakkan empat syarat, dua perjanjian yang ditandatangani dalam memulakan perundingan sebelum membentuk Kerajaan Perpaduan.
“UMNO letakkan syarat jangan sesekali remehkan apa yang terkait dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan. Setakat hari ini, pemimpin dalam Kerajaan Perpaduan hormat pendirian tersebut,” ujarnya. – UTUSAN










