Seleweng diesel: Pemandu lori didenda RM8,000 - Utusan Malaysia

Seleweng diesel: Pemandu lori didenda RM8,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Seorang pemandu lori dikenakan denda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban hari ini atas pertuduhan memiliki barang kawalan berjadual tanpa lesen yang sah iaitu 213 liter diesel di Nilai, hujung tahun lalu. 

Tertuduh, C. Perahbu, 35, sebagai orang kena saman (OKS) membuat pengakuan bersalah selepas kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Mazni Nawi. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, OKS didapati telah ada dalam kawalan barang kawalan yang merupakan barang berjadual iaitu minyak diesel sebanyak 213 liter dalam keadaan menimbulkan syak yang munasabah untuk melanggar Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 iaitu berurusan dengan minyak diesel secara borong tanpa lesen. 

Perbuatan itu dilakukannya pada pukul 11.30 malam, 9 Oktober 2023, di sebuah premis dekat Pusat Perniagaan D’ Galla, Jalan Nilai- Pajam, Nilai di sini.

Tertuduh justeru telah melakukan kesalahan di bawah Peraturan 21(1) peraturan-peraturan yang sama dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 22(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak melebih RM1 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan kali kedua dan berikutnya, didenda maksimum RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Janawatul Fieza Hamisan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat kerana tertuduh mengetahui lori dipandunya diubah suai untuk tujuan penyelewengan diesel. 

“Dalam kes ini perbuatan tertuduh adalah salah satu aktiviti ketirisan subsidi diesel yang amat serius dengan merujuk kepada eksibit dan laporan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Terdapat pengubahsuaian pada kenderaan dan membuat pemasangan paip dari tangki tambahan pada badan kenderaan dan terdapat pam tambahan. Ini jelas OKS mempunyai pengetahuan,” katanya. 

Sementara itu, OKS yang tidak diwakili peguam memohon hukuman paling minimum dikenakan kerana sudah tidak bekerja dan dalam masa sama menanggung dua anak, isteri dan ibu bapa. 

Mazni kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM8,000 dan jika gagal bayar boleh dipenjara selama sebulan.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN