Sektor Agrikomoditi sumbang RM83.2 bilion dalam KDNK 2023 - Utusan Malaysia

Sektor Agrikomoditi sumbang RM83.2 bilion dalam KDNK 2023

SHAHNAZ AKHTAR Mat Ali (lima kiri) bersama generasi baharu Felda selepas program TVET Mycommodity di UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka di Maran, Pahang. - UTUSAN/SALEHUDIN MAT RASAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Sektor agrikomoditi menyumbang RM83.2 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 sekali gus membuktikan ia komponen penting penyumbang kepada kemakmuran negara.

Setiausaha Bahagian Penggalakkan Inovasi dan Modal Insan Industri, Kementerian Perladangan dan Komoditi, Shahnaz Akhtar Mat Ali berkata, sektor berkenaan merangkumi komoditi perladangan teras negara seperti sawit, getah, perkayuan, koko, lada, kenaf dan tembakau.

Menurutnya, jumlah eksport pula mencatatkan sebanyak RM 160.4 bilion serta menyediakan peluang pekerjaan kepada hampir satu juta rakyat Malaysia khususnya di segmen huluan.

“Sehubungan itu pembangunan modal insan yang berkualiti dalam industri perlu diperhebat bagi memastikan kesinambungan bekalan tenaga kerja mahir tanpa bergantung kepada tenaga buruh asing.

“Pihak kementerian melalui Institut Perladangan dan Komoditi Malaysia (IMPAC) sebagai badan peneraju industri akan terus memacu usaha bersepadu dalam melahirkan modal insan berpengetahuan dan berkemahiran di sektor perladangan dan komoditi,” katanya ketika berucap pada Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Mycommodity di Dewan Indera Segara Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka di sini hari ini.

Shahnaz Akhtar berkata, TVET perlu diperkasa dengan menambah baik ekosistem serta meningkatkan kualiti program melalui akreditasi, pengiktirafan dan pensijilan badan bertaraf antarabangsa.

Tambah beliau, pendekatan ini selari. matlamat pembangunan agrikomoditi negara yang lebih berdaya saing dan kekal terpelihara selaras dengan pendekatan gig ekonomi yang semakin berkembang.

“Ekosistem TVET yang kukuh dalam sektor perladangan dan komoditi membolehkan negara menghasilkan pasaran buruh yang fleksibel seterusnya menyumbang kepada peningkatan taraf hidup rakyat,” katanya.

Menurutnya, usaha pemerkasaan TVET yang menjadi fokus utama kementerian bagi melahirkan lulusan yang seimbang, holistik dan berciri keusahawanan seterusnya menjadi pekerja berkemahiran tinggi.

“Terdapat lapan pusat latihan di bawah kementerian ini yang menawarkan peluang latihan iaitu Pusat Latihan Sawit Malaysia (Plasna) untuk sektor sawit, Akademi Hevea Malaysia (AHM) untuk sektor getah, Wood Industry Skills Development Centre (Wisdec) untuk sektor perkayuan,” katanya.

Selain itu ujarnya, Pusat Inovasi dan Teknologi Koko untuk koko, Pusat Latihan dan Pengembangan Lada (PENLada) untuk lada dan Institut Latihan Kenaf dan Tembakau (INSKET) untuk kenaf. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN