KLUANG: Sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lengkap tanpa menggayakan baju Melayu sedondon seisi keluarga dengan warna pilihan.
Memilih warna yang bersesuaian bukan mudah untuk memenuhi cita rasa semua ahli keluarga apatah lagi apabila jenis kain digunakan kurang bersesuaian selain terhad kepada saiz tertentu sahaja.
Namun, MR2 Premium menawarkan banyak pilihan warna dan jenis kain serta saiz bagi memudahkan para pelanggan memilih baju raya yang bersesuaian dan diingini semua ahli keluarga.
Pengasas MR2 Marketing Sdn. Bhd., Too Leong Huat berkata, tahun pertama cubaan pihaknya memasarkan baju Melayu hasil ciptaan syarikatnya membuatkan mereka teruja kerana sudah mendapat permintaan luar jangka walaupun belum dipasarkan sepenuhnya.

Menurutnya, rekaan yang dihasilkan adalah berdasarkan permintaan orang ramai khususnya pembekal jualan pakaian untuk digunakan ketika sambutan Hari Raya Aidilfitri serta memberi kepuasan bukan hanya semua pekerja dan syarikatnya, malah diterima baik oleh penduduk di bandar ini melalui hasil pasaran secara dalam talian oleh syarikatnya.
“Di MR2 Premium, kami menyediakan 17 warna menarik bagi baju Melayu, manakala kurta sebanyak 12 warna. Harga bagi baju Melayu regular fit adalah RM189 sepasang bagi saiz XS hingga 2XL dan tambahan RM10 bagi 3XL, RM20 4XL dan RM30 5XL.
“Bagi jenis slim fit pula, harganya hanya RM199 bagi semua saiz dan kurta dengan saiz XS hingga 5XL dijual pada harga RM69 dan RM79,” katanya kepada Utusan Malaysia di Taman Sri Kluang di sini.
Jelas Leong Huat, pengalaman selama lebih 33 tahun dalam penghasilan baju korporat kakitangan kerajaan, swasta, badan berkanun dan pertubuhan bukan kerajaan memberikannya pengetahuan luas dalam pemilihan jenis kain yang bersesuaian untuk dijadikan baju Melayu.
Sikap tidak pernah berputus asa dalam penghasilan baju korporat dan kini turut menghasilkan baju Melayu membolehkannya berjaya mengharungi pelbagai cabaran sehingga mampu mempunyai kilang sendiri untuk mengeluarkan produk ciptaannya.
“Dengan tema Raya dengan bergaya, kami yakin baju Melayu dan kurta keluaran pertama syarikat ini akan berjaya menakluki pasaran bukan hanya di Johor, malah seluruh negara serta negara jiran Singapura.
“Kami juga menawarkan baucar pembelian sebanyak RM30 kepada mereka yang membeli baju Melayu menggunakan kod respons pantas (QR) disertakan dengan hanya menaip MR2UNEWS. – UTUSAN










