PETALING JAYA: Perikatan Nasional (PN) memerlukan pembaharuan dengan melakukan kerjasama politik dengan parti lain sekiranya mahu menarik undi bukan Melayu menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Penganalisis politik, Prof esor Madya Dr. Lee Kuok Tiung berpandangan, ini kerana komponen PN iaitu Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) dilihat tidak mampu memainkan peranan untuk menarik undi kumpulan bukan Melayu.
Kata beliau, walaupun masyarakat dipupuk dengan semangat perpaduan dan kesatuan tetapi apabila tiba pilihan raya, tidak boleh lari daripada etnopolitik iaitu politik bersandarkan kaum.
“Itu sebenarnya perlu dimainkan oleh Gerakan tetapi bagi saya mereka tidak berkemampuan untuk menarik undi orang bukan Melayu terutama pengundi kaum Cina,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sependapat dengan Kuok Tiung, Pensyarah Kanan (Pembangunan Sosial dan Politik Identiti) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Profesor Madya Dr. Romzi Ationg berkata, ruang untuk PN meningkatkan sokongan bukan Melayu akan ada sekiranya penggunaan sentimen tidak berpihak kepada kumpulan pengundi tersebut dapat dikurangkan.
“PN juga boleh berbuat demikian melalui usaha meningkatkan bilangan pemimpin bukan Melayu yang mana ini sekali gus memberi gambaran pendekatan lebih terbuka dalam gabungan tersebut.
“Malahan, usaha meramaikan pemimpin yang lebih terbuka dan berkredibiliti di dalam PN juga dilihat akan membantu mereka mencapai matlamat menarik sokongan undi bukan Melayu,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, pengundi bukan Melayu didapati melihat kepada beberapa aspek dalam menentukan sokongan politik mereka.
Antaranya melihat parti yang memberi mereka sokongan serta bantuan kepada orang bukan Melayu. – UTUSAN










