JOHOR BAHRU: PKR bukan sebuah parti politik tong sampah yang akan menerima keahlian bekas pemimpin parti lain, sebaliknya setiap permohonan perlu ditapis dan disemak terlebih dahulu.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, individu bermasalah seperti yang ada rekod jenayah, bankrup dan terlibat rasuah seharusnya ditolak.
Menurutnya, langkah tersebut perlu dibuat bagi memastikan PKR terus kekal sebagai sebuah parti politik yang bersih dalam usaha melaksanakan agenda reformasi.
“Elemen bersifat parasit, dedalu, oportunis, penyangak, penyakau serta korupsi perlu ditolak awal-awal.
“Jadikan sirah Nabi Muhammad sebagai sandaran, baginda bersikap terbuka tetapi cermat dan berhemah dalam menerima ramai orang, banyak pihak dan banyak kabilah menyertai perjuangan Rasulullah sehingga Islam berkembang pesat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Hassan yang juga bekas Pengerusi PKR Johor bagaimanapun mengalu-alukan keahlian lebih ramai individu ke dalam PKR termasuk ahli parti politik lain sebelum ini.
“PKR adalah parti reformis yang bersifat massa untuk rakyat, bukannya parti untuk golongan elitis,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengatakan pihaknya menjangka lebih ramai bekas pemimpin berprofil tinggi, khususnya daripada Perikatan Nasional (PN) akan menyertai PKR dalam masa terdekat. – UTUSAN










