KUALA PILAH: Seorang penoreh getah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah hari ini atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki di daerah Jempol, tiga tahun lalu.
Tertuduh, K. Parthiban, 45, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah dihadapan Hakim, Norma Ismail.
Mengikut pertuduhan, tertuduh telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki berusia 35 tahun dengan jumlah RM6,500.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 15 Mac 2021 dan 1 Julai 2021 di Ladang Kok Foh Mill, Jempol.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan di bawah Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 (APPW) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang RM250,000 tetapi tidak melebihi RM1 juta atau penjara selama lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah seterusnya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan serta menyerahkan pasportnya kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 22 April ini sebagai sebutan semula kes.-UTUSAN.










