Peniaga medan selera gusar dua tahun dibelenggu masalah air

Peniaga medan selera gusar dua tahun dibelenggu masalah air

PENIAGA medan selera Taman Impianku berharap agar pihak bertanggungjawab menyelesaikan masalah gangguan air yang dihadapi mereka sejak dua tahun lalu. - UTUSAN/NORHAFIZAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Seramai 32 peniaga medan selera di Taman Impianku di sini buntu dan gusar apabila isu gangguan bekalan air di situ masih berlarutan selepas dua tahun seolah-olah tiada penyelesaian.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, peniaga, S. Vegeyin, 66, berkata, masalah itu dikatakan berpunca daripada tangki air yang menggunakan sistem meter tunggal.

“Memandangkan ia menggunakan sistem meter tunggal, jadi tekanan air perlahan dan air yang masuk ke dalam tangki tidak mencukupi untuk menampung kegunaan peniaga di sini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tangki yang menggunakan sistem meter tunggal ini sebenarnya sudah tidak sesuai diletakkan di medan selera. Kalau kita tengok medan selera di tempat lain, rata-ratanya menggunakan sistem meter air secara terus,” katanya di sini semalam.

Vegeyin berkata, selama 17 tahun berniaga di situ, belum pernah mereka mengalami masalah air sehinggalah sekitar dua tahun lalu

Seorang lagi peniaga, Hanaliza Awang Ali, 51, pula berkata, peniaga di situ sering berdepan masalah air sehingga terpaksa mengambil inisiatif mengangkut air daripada rumah untuk berniaga.

“Disebabkan tekanan air yang perlahan masuk ke dalam tangki, ada ketika ia hanya cukup digunakan untuk peniaga sebelah pagi. Peniaga sebelah petang pula ada sampai satu tahap terpaksa tutup kedai kerana ketiadaan bekalan air.

“Kami terpaksa ambil air daripada rumah atau terpaksa membiarkan seketika kedai kami sementara menunggu air ada untuk mencuci kedai,” katanya.

Pengerusi medan selera berkenaan, Norazmira Ibrahim berkata, pihaknya sudah beberapa kali menghantar surat kepada pihak bertanggungjawab bagi menyelesaikan masalah tersebut, namun sehingga kini masih menemui jalan buntu.

“Sudah lebih 15 aduan dibuat kepada pihak berwajib dan kali terakhir pada bulan lalu mereka ada menghantar wakil bagi melihat keadaan medan selera ini. Ketika itu kami dimaklumkan, kemungkinan medan selera ini akan dibina baharu, namun saya tidak pasti sejauh mana kebenarannya.

“Sekiranya perkara ini masih tiada penyelesaian, kami akan bawa perkara ini untuk pengetahuan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan meminta campur tangan kerajaan negeri,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini