KUALA LUMPUR: Kemudahan tukaran wang asing secara dalam talian dan kesan pandemik Covid-19 mengakibatkan perniagaan pengurup wang di negara ini merosot daripada 1,000 premis pada tahun 2000 kepada 258 premis sahaja hari ini.
Kemerosotan sehingga 70 peratus itu paling banyak disebabkan kewujudan aplikasi pemindahan dan pertukaran mata wang asing secara mudah dan selamat seperti Wise, BigPay dan Western Union.
Dengan adanya aplikasi tersebut, orang ramai tidak perlu lagi ke kaunter pengurup wang untuk menukar mata wang asing atau mengirim wang ke luar negara.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Perniagaan Perkhidmatan Wang Malaysia (MAMSB), Raman Krishnan berkata, kemerosotan perniagaan pengurup wang bermula ketika dunia dilanda Covid-19 pada tahun 2020.
Menurut beliau, semasa pandemik, semua negara melaksanakan perintah kawalan pergerakan (PKP) sekali gus mengakibatkan aktiviti melancong dan seluruh sektor ekonomi terhenti.
“Dari situ, kaunter-kaunter pengurup wang tutup dan selepas pandemik berakhir perniagaan tukaran mata wang asing tidak mampu bangkit malah terus mengecil,” kata beliau.
PANDEMIK
Menurut beliau, ketika tempoh pandemik, seluruh dunia mencipta pelbagai aplikasi untuk melakukan transaksi kewangan secara digital.
Kata beliau, aplikasi-aplikasi tersebut mendapat sambutan kerana memberi keselesaan selain selamat dan lebih mudah berbanding melakukan tukaran atau kiriman wang secara fizikal.
“Jadi kesan pandemik Covid-19 sehingga terbina aplikasi pertukaran wang secara digital kini mendapat permintaan tinggi sehingga semakin ramai tidak mahu lagi menghabiskan masa pergi ke kaunter pengurup wang.
“Akibatnya, perusahaan pertukaran wang pada 2017 menurun kepada kurang 600 premis dan ia makin berkurangan sehingga 258 premis ketika ini di seluruh Malaysia,” katanya.
Selain itu, Raman berkata, terdapat juga perniagaan pengurup wang diarah tutup kerana melanggar syarat perniagaan oleh Bank Negara Malaysia (BNM).
DOKUMEN
“Pengusaha pengurup wang harus menjalankan perniagaan mengikut dokumen polisi dikeluarkan BNM bagi mencegah aktiviti pengubahan wang haram.
Tinjauan di Lembah Klang, rata-rata pengurup wang mengeluh kerana kekurangan pelanggan.
Seorang pengurus pengurup wang di Sentul, Muhammad Nizar Rahmat Khan berkata, peratusan menukar mata wang asing di kaunter miliknya terus merosot iaitu daripada 300 transaksi sehari sebelum pandemik kini kepada 20 transaksi sahaja.
Kata beliau, antara mata wang yang sering ditukar adalah Dolar Singapura, Baht Thailand, Rupee India dan Rupiah Indonesia, bergantung kepada lokasi perniagaan mata wang tersebut.
“Masih ada pelanggan memilih membuat pertukaran wang asing secara fizikal tetapi dari tahun ke tahun kurang,” kata beliau.
Bagaimanapun, kata Muhammad Nizar, syarikatnya belum bercadang menutup perniagaan kerana masih mampu bertahan.
Dalam pada itu, seorang pekerja pengurup wang di Jalan Bukit Bintang, Affin Aizan Abdul Aziz berkata, pengusaha seharusnya seiring dengan teknologi dalam membangunkan aplikasi untuk memudahkan urusan kiriman dan pertukaran mata wang asing.
“Saya lihat sejak PKP beberapa tahun lalu telah mengubah tabiat pelancong dan warga tempatan yang lebih memilih menggunakan aplikasi dalam talian berbanding hadir ke kaunter.
“Walaupun pelanggan semakin kurang tetapi baki yang datang berurusan di kaunter pengurup wang masih ada dan menghargai kami yang masih ada.
“Mereka yang datang kerana lebih yakin dengan cara konvensional dan mengikut mereka senang berurusan dengan individu secara bersemuka,” katanya.
Menurut Affin Aizan, bagi mengekalkan kewujudan pengurup wang, mereka harus memberi kadar yang lebih tinggi untuk tukaran mata wang asing untuk bersaing dengan kelebihan ditawar secara atas talian. – UTUSAN










