GUA MUSANG: Barisan kepimpinan UMNO perlu tampil lebih agresif bagi menggelakan parti itu terkubur pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16) nanti.
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah atu Ku Li berkata, kebimbangan tersebut berasas apabila nama parti itu tidak lagi menjadi sebutan dalam kalangan rakyat sebagaimana sebelum ini.
Menurutnya, pada masa sama gerakan parti itu ketika ini dilihat semakin ‘sejuk’ dan perjuangan UMNO harus bermula sekarang, bukan menunggu tarikh PRU-16.
“Ramai dalam kalangan aktivis UMNO bimbang dan takut, UMNO hilang begitu sahaja. Namun, saya bagi jawapan tak akan hilang, kerana aktivis itu masih ada.
“Barangkali tidak ada hala tuju yang tepat yang diberi kepada aktivis UMNO ketika ini. Jadi disebabkan itu gerakan tidak terserlah. Saya rasa mungkin perkara ini boleh dibawa kepada peringkat atas untuk menimbangkannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa UMNO Bahagian Gua Musang di Bukit Cekati di sini semalam.
Ku Li memberitahu, beliau percaya faktor gerakan UMNO ‘sejuk’ disebabkan peringkat bahagian tidak mempunyai susunan kerja termasuk tidak mendapat aspirasi daripada peringkat Majlis Tertinggi sendiri.
Katanya, pimpinan di peringkat negeri patut dicorakkan semula supaya aktivis benar-benar berperanan.
“Kita tak boleh diam dan baru nak bangkit sehari dua sebelum pilihan raya. Saya lihat ahli Majlis Tertinggi sendiri sibuk dengan urusan-urusan lain dan tidak begitu tumpu kepada gerakan parti.
“Saya turut mendengar pendapat sesetengah pihak sekiranya UMNO tidak bersedia sekarang untuk PRU-16 kemungkinan UMNO akan terus lenyap,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain Tengku Razaleigh juga mendakwa parti itu (UMNO) seolah-olah di anak tirikan apabila tiada bantuan daripada Kerajaan Pusat dalam membantu gerakan UMNO.
“Sekarang ini nampaknya Kerajaan Perpaduan di peringkat Kerajaan Pusat tidak ada bagi bantuan kepada UMNO walaupun UMNO sokong Kerajaan Perpaduan ditubuhkan.
“UMNO seakan tidak menjadi sebahagian daripada polisi parti yang mendukung Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan tak mahu bagi bantuan, nyatakan kepada kita (UMNO). Namun, pemimpin UMNO yang bernasib baik dilantik sebagai Menteri pun tidak ada bagi tumpuan pada gerakan parti apabila sibuk dengan urusan pemerintahan dan berkerajaan,” katanya.-UTUSAN










