PETALING JAYA: Malaysia mengalu-alukan lebih banyak pelabur dan perniagaan Jerman untuk memanfaatkan lokasi di negara ini yang strategik di Asia Tenggara sebagai destinasi pelaburan pilihan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia berharap kepada kerjasama dengan Jerman yang lebih luas bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang.
Beliau memberikan contoh Infineon Technologies AG dan banyak syarikat terkemuka lain di Jerman yang telah memilih Malaysia sebagai hab penting, pusat kecemerlangan dan pusat latihan.
“Dalam Kesatuan Eropah (EU), sudah tentu, Jerman adalah rakan dagang terbesar kami dan anda telah melabur jumlah yang cukup besar iaitu hampir AS$15 bilion (RM70.24 bilion),” katanya dalam sidang akhbar bersama rakan sejawatnya Canselor Jerman, Olaf Scholz di Canselori Persekutuan, Berlin, semalam.
Anwar kini dalam rangka lawatan rasmi enam hari ke Jerman mengadakan mesyuarat dua hala dengan Scholz yang merupakan pertemuan pertama antara kedua-dua pemimpin tersebut.
Jerman adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dalam kalangan anggota EU sejak tahun 2000 manakala Malaysia merupakan rakan perdagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN.
Terdapat lebih 700 syarikat Jerman berpangkalan di Malaysia yang mewujudkan sejumlah 65,000 pekerjaan.
Pada 2023, nilai dagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 5.9 peratus kepada RM63.45 bilion (AS$13.90 bilion) berbanding RM59.87 bilion (AS$13.62 bilion) pada 2022.
Perdana Menteri berkata, beliau dan rakan sejawatnya itu juga membincangkan kemajuan hubungan Malaysia-Jerman terutama kerjasama ekonomi, pendidikan, alam sekitar, eksport minyak sawit dan kelestarian serta bertukar pandangan mengenai krisis kemanusiaan di Palestin selain isu global mempunyai kepentingan bersama.
“Menerusi pertemuan ini Malaysia berharap dapat menjalinkan kerjasama yang lebih luas, bukan sahaja dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan, malah untuk memperkukuh hubungan dua hala dalam semua bidang,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Malaysia turut menyambut baik minat Berlin daripada segi pelaburan baharu dalam tenaga boleh baharu (TBB) dan teknologi hijau.
“TBB telah menjadi tumpuan kami pada masa ini dan kami bertuah kerana mempunyai kekuatan dalam tenaga solar, tenaga hijau dan kukuh dari segi kapasiti kami untuk mengeksport TBB,” katanya.
Selain hubungan dua hala, Anwar dan Scholz juga membincang isu Palestin apabika Malaysia dan Jerman senada dalam soal gesaan gencatan senjata kekal di Semenanjung Gaza di samping pembebasan tawanan dan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin disegerakan. – UTUSAN










