Peka jadi mata dan telinga penguatkuasa bantu kekang keluar masuk PATI secara haram - Zuhairi - Utusan Malaysia

Peka jadi mata dan telinga penguatkuasa bantu kekang keluar masuk PATI secara haram – Zuhairi

ZUHAIRI Ab. Kadir (lima dari kanan) menyempurnakan majlis perasmian pejabat baharu Peka di Kuantan, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Lebih 10,000 ahli Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (Peka) akan menjadi mata dan telinga bagi membantu pihak penguatkuasa mengekang keluar masuk pendatang asing tanpa izan (PATI) mengikut laluan tidak sah terutama menjelang sambutan Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berkata, semua ahli pertubuhan itu sudah diarahkan supaya segera melaporkan kepada pihak berkuasa seperti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) jika memperoleh maklumat berhubung keluar masuk PATI secara haram.

“Berdasarkan kepada trend dari tahun-tahun sebelum ini, kita mendapati musim perayaan adalah tempoh paling tinggi berlakunya kegiatan jenayah melibatkan PATI.

“Perkara ini perlu dipandang serius, kerana ia bukan sahaja akan menyusahkan diri mereka (PATI) tetapi agensi dan pihak penguatkuasa jika berlaku perkara tidak diingini.

“Mereka hanya membahayakan diri sendiri apabila menaiki bot tanpa aspek keselamatan yang betul. Operator bot pula memang tidak kira dengan perkara ini, mereka hanya mahukan keuntungan, lebih ramai lebih bagus, itu yang jadi sampai bot terlebih muatan,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis perasmian pejabat baharu Peka di sini hari ini.

ZUHAIRI AB KADIR

Mengulas lanjut, Zuhairi memberikan contoh kejadian 172 warga Indonesia yang hanyut di perairan Pantai Labu, Deliserdang, Sumatera Utara, Indonesia sebelum diselamatkan nelayan tempatan dipercayai keluar melalui laluan haram dari negara ini.

“Seperti dimaklumkan oleh Maritim Malaysia, kesemua mangsa terbabit didapati menggunakan laluan yang tidak sah untuk pulang ke negara mereka akibat dipercayai memasuki ke negara ini secara haram atau permit telah tamat tempoh.

“Jadi Peka menasihatkan kepada warga asing supaya melaksanakan urusan kemasukan dan keluar dari negara ini secara sah agar tiada sebarang masalah dihadapi pada masa hadapan,” katanya.

Beliau dalam pada itu berkata, kesiapsiagaan pihak penguatkuasa seperti Maritim Malaysia sudah terbukti demi memastikan Zon Maritim Malaysia (ZMM) selamat daripada ancaman jenayah dan aktiviti salah laku maritim seperti rompakan, pencerobohan bot nelayan asing, penyeludupan barangan kontraban serta kemasukan PATI atau mana-mana pihak melalui jalan laut secara haram.

“Selain rondaan dan operasi secara berterusan, Maritim Malaysia juga melaksanakan latihan berbentuk operasi di laut bagi mengukur kesiagaan dan keupayaan aset-aset pasukan itu dalam melakukan tugasan yang diberikan.

“Jadi, adalah penting maklumat orang ramai termasuk oleh Peka bagi membantu pihak penguatkuasa seperti Maritim Malaysia menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara. Ia tugas yang perlu dimainkan bersama oleh seluruh rakyat bukan hanya pihak berkuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya