Palu beduk gamit nostalgia Ramadan - Utusan Malaysia

Palu beduk gamit nostalgia Ramadan

AHLI jawatankuasa masjid mengeluarkan beduk yang akan digunakan sepanjang Ramadan di Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Tradisi memukul atau memalu beduk menjadi rutin wajib setiap kali tibanya Ramadan sekali gus menggamit nostalgia berpuasa buat penduduk Cherok Tokun, di Bukit Mertajam khususnya.

Lebih unik lagi, beduk dianggarkan berusia lebih 40 tahun diperbuat daripada kayu merbau serta kulit lembu itu akan dikeluarkan dan diletakkan di hadapan kawasan masjid sepanjang Ramadan ini.

Ketua Pemuda Jawatankuasa Masjid Jamek Cherok Tokun Bawah, Mohd. Rostam Rahim berkata, tradisi memukul beduk atau tabuh itu masih dikekalkan sehingga sekarang malah menerima reaksi positif daripada penduduk setempat.

“Beduk akan dipalu tiga kali sehari iaitu sebelum waktu berbuka, selepas selesai solat tarawih dan sebelum waktu sahur berakhir.

“Biarpun kini ada teknologi moden untuk menentukan waktu berbuka dan bersahur, namun bunyi pukulan beduk yang kuat ini memiliki keistimewaannya tersendiri.

“Tradisi ini sudah dipraktikkan lebih 10 tahun lalu dan beduk berkenaan turut diselenggara supaya sentiasa dalam keadaan yang baik,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, anak kariah bersama jawatankuasa masjid telah menjalankan gotong-royong sebagai persediaan menyambut Ramadan.

Katanya, pihaknya mahu menarik lebih ramai golongan belia untuk mengimarahkan masjid sekaligus merancakkan aktiviti yang telah diatur.

“Selain membersihkan masjid, kita turut merangka pelbagai aktiviti sepanjang bulan puasa antaranya memasak bubur lambuk, bantuan asnaf dan agihan makanan kepada gelandangan.

“Kita gerakkan anak-anak muda khususnya untuk mengimarahkan masjid dan menyertai program yang direncana untuk merapatkan ukhwah sesama penduduk.

“Selain itu, kita turut akan pastikan keselamatan penduduk terjamin kerana dijangka lebih 800 jemaah akan bertarawih di sini sepanjang Ramadan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×