PADU ‘lombong emas’ penggodam

PADU ‘lombong emas’ penggodam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Punca utama rak­yat tidak mengemaskini Pangkalan Data Utama (PADU) disebabkan sistem tersebut disifatkan sebagai ‘lombong emas’ kepada penjenayah siber dan terdedah kepada penyalahgunaannya untuk tujuan politik.

Ia disebabkan sifat sistem tersebut sendiri yang memusatkan data-data penting rakyat seperti pendapatan bulanan, pemilikan harta dan maklumat ahli keluarga menimbulkan keraguan banyak pihak mengenai keselamatan PADU.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, data dalam PADU mempunyai pelbagai elemen yang secara tidak langsung menjadi tarikan kepada penjenayah siber untuk mencuri maklumat tersebut.

Jadi, beliau berkata, tidak hairan apabila Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli mendedahkan bahawa terdapat dua juta cubaan untuk menggodam sistem PADU daripada pihak tidak bertanggungjawab.

“Mana tidaknya ia akan menjadi lombong emas kepada penjenayah dan kepentingan politik apabila data tersebut bersifat ‘real time’ mengenai isi rumah, pendapatan dan kekayaan dimiliki oleh rakyat Malaysia.

“Pada masa sama, ia berkongsi maklumat daripada semua agensi kerajaan seperti Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan sebaginya ke dalam satu sistem besar.

SIBER

“Ia sudah pasti menarik perhatian penjenayah siber khususnya untuk memperoleh data tersebut yang sangat bernilai di pasaran gelap,” katanya ketika dihubungi semalam.

Tegasnya, penjenayah siber sanggup berbelanja besar dengan apa cara sekali pun untuk mendapatkan maklumat tersebut bahkan ia tidak mustahil kerana berdasarkan laporan Polis Antarabangsa (Interpol) pada tahun lalu, penjenayah penipuan siber atau scammer mengaut sehingga RM14 trilion setahun.

Pada masa sama, beliau berkata, data mengenai status kewangan rakyat adalah jenis data yang sangat disukai oleh penjenayah siber bagi mengenal pasti sasaran untuk dijadikan mangsa seterusnya.

“Sekarang mungkin mereka kata sistem tersebut selamat, tetapi apa jaminan ia kekal ‘kalis godam’ untuk lima tahun akan datang. Adakah ia akan dilupuskan selepas menjadi mekanisma utama subsidi bersasar?

“Amat penting untuk kerajaan memberi jaminan jangka masa panjang kerana data tersebut bersifat ‘real time’ yang boleh digunakan pada bila-bila masa,” katanya.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mensasarkan 29 juta rakyat mengemas kini maklumat sebelum 31 Mac ini.

SUKAR

Namun proses tersebut dilihat sukar apabila Sarawak dan Sabah meminta pendaftaran PADU ditangguhkan susulan timbul kebimbangan berhubung beberapa isu membabitkan sistem tersebut.

Mengulas lanjut, Siraj berkata, beliau menjangkakan pendaftaran PADU akan gagal mencapai sasarannya disebabkan jumlah individu yang mengemas kini masih kurang daripada 50 peratus sedangkan tarikh pendaftarannya hanya berbaki satu hari lagi.

Justeru, beliau menggesa kerajaan menangguhkan dahulu pendaftaran PADU sehingga Akta Ke­selamatan Siber 2024 berkuat kuasa sepenuhnya sekali gus menjadikan PADU sebagai sistem pertama dikawal selia oleh undang-undang berkenaan.

“Apabila akta tersebut sudah berkuatkuasa, tindakan penguatkuasaan boleh diambil bagi membendung data rakyat Malaysia daripada bocor ke tangan kumpulan tidak bertanggungjawab tak kiralah penjenayah siber mahu pun politik,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×