Ops Pantau 2024: KPDN Pahang periksa 1,619 premis - Utusan Malaysia

Ops Pantau 2024: KPDN Pahang periksa 1,619 premis

ANGGOTA penguatkuasa melakukan pemeriksaan dalam Ops Pantau 2024 sejak 12 Mac lalu, di seluruh Pahang. - FOTO IHSAN KPDN PAHANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Sebanyak 1,619 premis sudah diperiksa di negeri ini dalam pelaksanaan Ops Pantau 2024 oleh pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pahang, sejak 12 Mac lalu.

Pengarahnya, Jezlily Jamaluddin berkata, daripada jumlah premis diperiksa tersebut, empat kes dikesan atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan Akta Timbang dan Sukat 1972.

“Sepanjang tempoh seminggu pelaksanaan operasi, pemeriksaan adalah membabitkan bazar Ramadan, Bazar Aidilfitri, pasar awam, pasaraya dan premis yang menyediakan Bufet Ramadan termasuk aktiviti penjualan secara dalam talian yang turut menjadi tumpuan masyarakat.

“Operasi penguatkuasaan itu bersasar hanya sepanjang Ramadan ini sehingga menjelang Hari Raya Aidilfitri yang bakal disambut April depan.

“Perkara tersebut bagi memastikan peniaga sentiasa mematuhi perundangan yang sedang berkuatkuasa terutama berkaitan bekalan barangan, harga barangan, jualan murah, penggunaan alat timbang, penjualan barang tiruan dan kepatuhan halal,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, Jezlily berkata, bagi operasi berkenaan, KPDN Pahang telah menggerakkan 137 anggota penguatkuasa di seluruh negeri ini.

Katanya, selain itu juga turut menjalankan Operasi Bersepadu bersama agensi dan jabatan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT), pejabat kesihatan, Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Semua para peniaga dinasihatkan agar terus mematuhi segala perundangan yang telah ditetapkan oleh kerajaan,” katanya.

Sebarang aduan awam boleh dibuat kepada KPDN melalui platform aduan seperti WhatsApp ke 0192794317/0198488000, Portal [email protected], pusat panggilan 1800 886 800 dan aplikasi telefon pintar Ez ADU. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×