NGO sokong SPRM bawah pantauan Istana Negara - Utusan Malaysia

NGO sokong SPRM bawah pantauan Istana Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Pulangkan Duit Rakyat konsisten menyokong usaha Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengembalikan wang berbilion ringgit yang hilang akibat pelbagai skandal kewangan di negara ini.

Jurucakapnya, Ariffin Abu Bakar berkata, disebabkan Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dilantik Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA), maka lebih elok jika badan bebas tersebut diletakkan di bawah pentadbiran Istana Negara.

“Cadangan itu turut datang  daripada  Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan menerima lebih banyak tanggungjawab termasuk pemantauan secara terus terhadap SPRM.

“Kami menjunjung titah Tuanku agar SPRM diletakkan di bawah pantauan Istana Negara dan bukannya Parlimen ketika ini.

“Kami juga sedia membantu Yang di-Pertuan Agong untuk memburu semua pihak yang korup, salah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah, baik pentadbiran sekarang mahupun sepanjang era pentadbiran 22 tahun,  22 bulan lalu,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Menara Ilham di Jalan Binjai di sini, hari ini.

Sehubungan itu, NGO berkenaan menggesa agar SPRM  tidak gentar untuk meneruskan usaha walaupun terdapat pihak yang mencabar agensi itu.

“Di kala rakyat dihimpit dengan tekanan kos sara hidup melambung tinggi, langkah SPRM untuk menokhtahkan salah guna kuasa dan salah laku rasuah harus disokong semua pihak.

“Dengan kembalinya duit rakyat berbilion ringgit itu diharapkan dapat memberi kelegaan kepada ekonomi Malaysia dan lebih penting menstabilkan nilai ringgit yang jatuh teruk ketika ini,” katanya lagi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN