KUALA PILAH: Pihak Majlis Daerah Kuala Pilah (MDKP) menafikan juadah nasi kerabu berulat yang didakwa dibeli pelanggan di bazar Ramadan Kuala Pilah seperti yang tular di media sosial, berlaku di bazar Ramadan yang dianjurkan di Dataran Melang di sini.
Yang Dipertua MDKP, Mohd. Faizal Abd. Manap berkata, penguatkuasa MDKP bersama Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Pilah telah ke lokasi yang didakwa berlaku tersebut sebaik sahaja mendapat maklumat mengenai kejadian itu.
Menurut beliau, semakan daripada empat lot yang berdaftar untuk jualan nasi kerabu hanya dua lot sahaja yang yang digunakan untuk berniaga oleh peniaga yang sama.
“Hasil daripada pemeriksaan makanan bersama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) mendapati masakan yang dijual adalah baharu dan tiada kesan makanan lama yang digoreng semula,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.
Terdahulu tular video di Facebook yang menunjukkan nasi kerabu yang sudah berulat dengan keterangan video memberi maksud makanan tersebut dibeli di Bazar Ramadan Kuala Pilah bersebelahan sebuah restoran makanan segera.
Video itu kemudiannya mendapat reaksi orang ramai kesal selain mahukan pihak berkuasa mengambil tindakan tegas.
Dalam pada itu, Mohd. Faizal berkata, semakan juga mendapati bungkusan makanan yang digunakan oleh peniaga yang diperiksa adalah berbeza daripada yang ditularkan dalam video berkenaan.
“Apabila pengadu cuba dihubungi, pengadu sendiri tidak dapat mengesahkan maklumat yang tepat tentang sumber aduan tersebut. Dikhuatiri aduan ini bersifat fitnah, berkemungkinan dibeli tempat lain tetapi memburukkan bazar di Kuala Pilah.
“Peniaga juga mengakui tidak melakukan perkara yang sedemikian (seperti video tular) justeru MDKP menafikan perkara ini berlaku di bazar di sini,” katanya.-UTUSAN.










